Sultan Nazrin gesa syarikat wujudkan platform CSOD
Sultan Nazrin (tengah) Sidang Kemuncak GO ESG ASEAN 2022 di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A
Baginda bertitah, penyediaan yang jelas untuk data kemampanan yang boleh dipercayai dan komprehensif perlu menjadi aspek penting dalam komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) oleh syarikat.
"Ia perlu dilaksanakan secara sukarela oleh syarikat, melangkaui skim pelaporan kemampanan mandatori yang kebanyakan syarikat tertakluk kepadanya,” titah baginda pada Sidang Kemuncak GO ESG ASEAN 2022 di sini pada Khamis.
Sultan Nazrin bertitah CSOD juga perlu menyediakan maklumat mengenai matlamat kemampanan syarikat pada masa depan supaya orang ramai dapat menjejaki pelaksanaan dan kemajuan mereka.
Baginda bertitah, contoh yang baik untuk CSOD yang telah beroperasi ialah ESGenome, yang dilancarkan oleh Bursa Singapura.
"Portal ini memudahkan pelaporan data ESG secara berstruktur dan cekap.
"Data yang disediakan dalam ESGenome boleh diakses secara bebas oleh pelabur dan pihak berkepentingan lain, sekali gus membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik berkaitan pelaburan dan penilaian korporat mereka,” titah baginda.
Sultan Nazrin menggesa sektor korporat untuk memberikan sumbangan yang besar kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan mengambil langkah yang lebih bertanggungjawab dan memanfaatkan sumbernya sendiri, termasuk modal insan, teknologi dan inovasi.
"Syarikat dan jabatan kerajaan di seluruh ASEAN perlu dapat menunjukkan dengan meyakinkan kepada penduduk mereka bahawa semua dasar yang dibangunkan untuk menangani krisis iklim adalah dijustifikasikan sepenuhnya oleh data.
"Mereka juga perlu dapat menunjukkan bahawa mereka mengikuti amalan dasar ini dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
"Semua ini hanya boleh dilakukan melalui penggunaan sumber data yang boleh dipercayai, telus dan dalam jangka masa yang panjang,” titah baginda.
Sultan Nazrin menekankan kepentingan pengumpulan dan penyebaran data -- proses yang kadangkala disebut sebagai "penyusunan data”, bertitah bahawa modaliti data yang telah digunakan secara tradisi perlu dipelbagaikan untuk menangani defisit data berkualiti mengenai perkara berkaitan kemampanan.
"Penyebaran data yang dipertingkatkan dan diperluaskan itu akan turut membantu mewujudkan kesedaran yang lebih baik mengenai krisis iklim dan kerumitannya, melangkaui aspek kemampanan dan pembangunan.
"Ini boleh menggantikan pengulangan permintaan yang retorik dan membantu mendapatkan sokongan kepada agenda kemampanan daripada pihak berkepentingan yang lebih luas, termasuk agensi kerajaan, korporat, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam,” titah baginda.
Bertemakan "Data Driven Sustainability: Accelerating ESG Impact for ASEAN”, Sidang Kemuncak GO ESG ASEAN 2022 selama sehari itu bertujuan untuk menekankan peranan utama data ESG dalam memacu agenda kemampanan ASEAN. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!