'Buat yang terbaik walaupun berdepan tugas berat'

Mohd Johari (dua dari kiri) bersama calon yang disahkan bertanding pada PRU15 bagi DUN Tioman terdiri Nor Idayu (kanan), Osman (dua dari kanan) dan Sulaiman (kiri).
Mohd Johari (dua dari kiri) bersama calon yang disahkan bertanding pada PRU15 bagi DUN Tioman terdiri Nor Idayu (kanan), Osman (dua dari kanan) dan Sulaiman (kiri).
A
A
A

ROMPIN - Calon BN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain mengakui berdepan tugas berat untuk mempertahankan kerusi DUN yang disandangnya selama tiga penggal itu.

Mohd Johari berkata, situasi PRU15 baru-baru ini yang kurang memihak kepada BN memaksanya untuk bekerja keras dan melipatgandakan usaha sepanjang tempoh kempen bagi memastikan kemenangan BN di kerusi itu.

"Selain saingan calon lawan, DUN Tioman juga akan menjadi tumpuan dan situasi itu satu cabaran bagi saya.

"Jadi saya harapkan BN pusat dan negeri dapat turun membantu supaya lebih ramai pengundi dapat didekati bagi menarik sebanyak mungkin undi demi kemenangan BN di kerusi ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari penamaan calon PRU15 bagi DUN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis.

Mohd Johari berdepan pertembungan lima penjuru antara calon PN, Nor Idayu Hashim, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Semua calon itu disahkan bertanding seperti diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Tioman, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek.

Mohd Johari berkata, sebagai calon yang dipilih parti untuk mempertahankan kerusi itu, beliau akan melakukan yang terbaik supaya khidmatnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu selama ini dapat diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian penyokong BN dan PN yang hadir pada hari penamaan calon PRU15 bagi DUN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis.
Sebahagian penyokong BN dan PN yang hadir pada hari penamaan calon PRU15 bagi DUN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis.

"Para pengundi diminta membuat pilihan bijak dan tepat serta tidak mempersia-siakan usaha yang dilakukan kerajaan negeri di bawah BN selama ini," katanya.

Hari penamaan calon PRU15 bagi DUN Tioman berjalan lancar bagaimanapun sambutan dalam kalangan penyokong parti bertanding tidak semeriah pada hari penamaan calon PRU15, 5 November lalu.

Kelihatan hanya penyokong PN dan BN yang hadir memberikan sokongan kepada calon parti yang bertanding.

PRU15 DUN Tioman yang sepatutnya berlangsung serentak pada 19 November lalu ditangguhkan berikutan kematian calon PN terdahulu, Allahyarham Md Yunus Ramli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan, Khamis, 24 November sebagai hari penamaan calon bagi PRU15 DUN Tioman, 3 Disember sebagai hari pengundian awal dan hari mengundi pada 7 Disember depan.

Pada PRU15 lalu, PN berjaya merampas kerusi Parlimen Rompin dan kerusi DUN Bukit Ibam daripada BN.

BN hanya menang di kerusi DUN Muadzam Shah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!