Nurul Izzah ingatkan Anwar cabaran bakal dipikul

Nurul Izzah
Nurul Izzah
A
A
A

SHAH ALAM - Sejurus selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-10, anaknya Nurul Izzah mengingatkan bapanya terhadap cabaran bakal dipikul dengan jawatan tersebut.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, dugaan bukan sahaja hadir ketika berhadapan dengan kekalahan tetapi juga semasa memperoleh kemenangan.

“Yang pasti, sejak 1998 sehingga saat ini, adalah kewajipan untuk kita berpegang terus kepada garis batas perjuangan, menuntut keadilan bukan untuk diri kita, tetapi sebagai pemangkin kepada perlindungan untuk semua.

“Cabaran tetap menanti dan selepas upacara angkat sumpah iaitu usaha menyatupadukan teman-teman senegara, meneliti masalah ekonomi yang membelenggu, menarik pelaburan menerusi rangsangan ekonomi dan bakat tempatan, dan membina ummah serta bangsa yang berteraskan keadilan sosial dan kenegaraan yang jitu.

“I love you, Papa Am always proud of you - even as you lay imprisoned as a prisoner of conscience. (Saya sayang papa, sentiasa bangga dengan papa - walaupun papa terpenjara disebabkan prinsip),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Dalam pada itu, Nurul Izzah menambah, legasi bakal ditinggalkan oleh sesebuah pentadbiran untuk generasi masa depan bukannya harta, pangkat mahupun wang ringgit tetapi idealisme dan prinsip perjuangan yang tidak boleh dijual beli.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis berkenan untuk melantik Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri ke-10.

Beliau dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada jam 5 petang ini di lstana Negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!