Misi kumpul dana bantu Gaza
ALOR SETAR - Yayasan Isra’ Malaysia menggerakkan kempen bagi mengumpulkan sumbangan untuk disalurkan kepada Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza.
Pengerusinya, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, sumbangan itu akan diserahkan secara terus oleh delegasi yang akan ke Gaza, Palestin pada 27 April hingga 3 Mei depan.
Menurutnya, Yayasan Isra’ Malaysia menyasarkan sumbangan awal yang akan dibawa delegasi adalah RM200,000 bagi membantu keperluan khususnya di Gaza dan Tebing Barat.
“Antara bantuan yang akan disampaikan adalah pek makanan, jamuan iftar, bekalan air bersih, serta membaik pulih klinik dan bekalan perubatan,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Tarmizi berkata, kempen ini baharu sahaja bermula dan kutipan terkini yang berjaya dikumpul adalah RM4,000.
“Kita masih perlukan sekitar RM196,000 lagi, orang ramai yang ingin hulurkan sumbangan boleh berbuat demikian sehingga hari akhir kutipan, iaitu 26 April,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan terus komited membantu penduduk Palestin, yang menjadi mangsa kekejaman rejim zionis dan sentiasa bersuara membela nasib mereka di peringkat antarabangsa.
“Yayasan Isra’ Malaysia baru-baru ini mengadakan perbincangan bersama International Parlimentarians For Al-Quds di bangunan Parlimen diketuai Presidennya, Syeikh Hamid Abdullah Al-Ahmar dari Yaman serta ahli jawatankuasa lain,” katanya.
Tambahnya, turut serta dalam perbincangan itu adalah Presiden, Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM), Muslim Imran dan Pas Relief bagi membincangkan isu terbabit.
Ahmad Tarmizi berkata, orang ramai yang ingin menyumbang kepada tabung Gaza boleh berbuat demikian menerusi akaun Yayasan Isra’ Malaysia (Maybank) 5520 9523 0206.
Bermula 1 Januari lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Program Makanan Sedunia (WFP) terpaksa mengurangkan bantuan kepada segelintir penduduk Palestin di wilayah Tebing Barat dan Semenanjung Gaza kerana kekurangan pembiayaan dana.
Pengarah WFP wilayah Palestin, Stephen Kearney memaklumkan kira-kira 27,000 penduduk Palestin tidak lagi menerima bantuan tersebut sejak itu.
Ini memberi kesan kepada 165,000 lagi penduduk termasuk 110,000 di Gaza apabila bantuan kepada mereka dipotong atau dicatu 20 peratus berbanding sebelum ini.
Portal Arab News melaporkan, langkah itu dibuat selepas kekurangan sumbangan secara beransur-ansur yang diterima WFP sejak empat tahun lalu.
WFP memerlukan AS$57 juta (RM233.7 juta) bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin. Di Semenanjung Gaza, kira-kira 80 peratus daripada dua juta penduduk bergantung sepenuhnya kepada bantuan antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!