Bersatu tidak pasti ada dalam Kabinet

Kenderaan keluar masuk dari rumah Muhyiddin pada Khamis. Gambar kecil: Mohd Redzuan
Kenderaan keluar masuk dari rumah Muhyiddin pada Khamis. Gambar kecil: Mohd Redzuan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pasti akan terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu atau sebaliknya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, perkara tersebut bergantung kepada Perdana Menteri yang dilantik.

"Kami tidak pasti kerana kenyataan pelantikan (perdana menteri) itu tidak jelas dan tidak menyatakan secara khusus kerajaan perpaduan atau sebaliknya.

"Jika diikutkan, kerajaan perpaduan sepatutnya melibatkan semua pihak, namun kita tidak pasti apa statusnya," katanya pada Khamis.

Beliau dilihat meninggalkan kediaman Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sekitar jam 3 petang.

Pada Khamis, beberapa pemimpin PN tiba di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara seawal jam 9.25 pagi.

Antara pemimpin yang lihat hadir termasuk Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi sekitar jam 3 petang mendapati kediaman bekas Perdana Menteri dipenuhi kenderaan yang memasuki kediaman Muhyiddin beberapa jam selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10.

Artikel Berkaitan:

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selepas selesai perbincangan khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada Khamis berkata, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan pada jam 5 petang ini di lstana Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!