777 hidap penyakit tibi di Terengganu
KUALA TERENGGANU - Seramai 777 orang dikesan menghidap penyakit tibi di Terengganu pada 2018 dengan peningkatan seramai enam pesakit berbanding 771 pada 2017.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, daripada kes itu, terdapat 21 kematian akibat penyakit berkenaan yang menyumbang sebanyak 2.7 peratus daripada keseluruhan kes.
Bagaimanapun, katanya, terdapat peningkatan terhadap pencapaian perawatan bagi penyakit itu pada 2018.
"Pada 2018, penyakit ini menunjukkan peningkatan perawatan yang baik di mana 93.3 peratus daripada pesakit tibi telah sembuh atau sempurna rawatan berbanding hanya 82.2 peratus pada 2017.
"Ini menunjukkan perkembangan positif terhadap tindakan kita dalam menangani dan memberikan rawatan terhadap pesakit yang menghidapi penyakit ini," katanya ketika berucap sempena perasmian Kempen Hidup Aktif - Walk Peringkat Negeri 2019 di Dataran Shahbandar, hari ini.
Kempen itu diadakan sempena Hari Kesihatan Sedunia, Hari Kanser Sedunia, Hari TB Sedunia, Minggu Kesedaran Imunisasi serta Bulan Pemakanan dan Hari Tanpa Tembakau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!