Air pasang besar: APM minta penduduk waspada

Anggota APM Kota Setar meninjau keadaan kawasan dinaiki air akibat kejadian air pasang di Kuala Kedah pada pagi Khamis. - Foto: APM
Anggota APM Kota Setar meninjau keadaan kawasan dinaiki air akibat kejadian air pasang di Kuala Kedah pada pagi Khamis. - Foto: APM
A
A
A

ALOR SETAR - Kejadian air pasang besar yang berlaku di Kuala Kedah pada pagi Khamis menyaksikan keadaan dan aktiviti setempat masih lagi terkawal.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, air pasang besar yang berlaku pada jam 12.40 tengah malam sehingga 2 pagi itu menyebabkan air laut melepasi paras ramalan iaitu 2.9 meter.

"Keadaan ini menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air antaranya kawasan Terminal Feri Kuala Kedah, Taman Seri Putra, Pasar Kota Marina dan Pekan Kuala Kedah.

"Setakat ini tiada rumah dan premis perniagaan yang terjejas. Keadaanya masih terkawal dan tidak menjejaskan aktiviti setempat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Norlizawati, tiada kejadian hujan dan angin kuat yang boleh mengakibatkan paras air melimpah memasuki kediaman dan premis perniagaan manakala Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan sentiasa memantau keadaan tersebut.

"Penduduk di kawasan pesisir pantai di Kuala Kedah bagaimanapun dinasihatkan berhati-hati selain mengambil langkah persediaan berikutan air pasang besar dijangka berlaku awal pagi Jumaat dan Sabtu ini," ujarnya.

Air pasang besar diramal berlaku di dua daerah di Kedah iaitu di Kota Setar dan Kuala Muda selama tiga hari bermula Khamis sehingga Sabtu ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!