Penduduk Tambun beri harapan besar kepada Anwar
IPOH - Penduduk Tambun menyambut baik pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Ketika tinjauan dilakukan Sinar Harian pada Khamis, rata-rata mereka berbangga apabila Ahli Parlimen Tambun itu dipilih sebagai pemimpin nombor satu negara.
Bekas tentera, Darson Savariar, 58, berkata, kelebihan sebagai Perdana Menteri itu akan membawa lebih banyak pembaharuan dan pembangunan di kawasan Parlimen Tambun.
Menurutnya, harapan penduduk yang selama ini mahukan infrastruktur dinaik taraf dan kemudahan jalan yang lebih baik pasti akan dapat dilaksanakan dengan kepimpinan Anwar sekarang.
"Saya teruja dengan pelantikan beliau kerana sudah beberapa hari ini saya menantikan keputusan siapa Perdana Menteri.
"Ini satu pelantikan yang membanggakan penduduk Tambun dan saya yakin Datuk Seri (Anwar) tidak akan mengecewakan pengundi di sini," katanya.
Pengusaha bengkel, Chong Wai Kit, 42, turut melahirkan keyakinan Anwar mampu merealisasikan harapan penduduk Tambun yang mahukan pembangunan mampan berkaitan peluang pekerjaan.
Menurutnya, kekurangan peluang pekerjaan di kawasan itu menyebabkan ramai anak-anak muda terpaksa berhijrah ke bandar dan negeri lain untuk mencari sumber pendapatan.
Penjaja, Azmi Hijaz, 51, pula mengharapkan keberadaan Anwar di Tambun dapat membuka ruang ekonomi yang lebih meyakinkan khususnya untuk peniaga kecil seperti mereka.
Ujarnya, dalam keadaan ekonomi sekarang, masih ramai kalangan penduduk bergantung rezeki dengan berniaga kuih, pisang goreng, keropok dan pelbagai jenis air di tepi jalan.
"Di Tambun ini pun ramai, sepanjang Taman Perpaduan ini pun ada macam-macam gerai jualan. Kalau keadaan ekonomi baik, saya yakin pendapatan kami pun bertambah baik," katanya.
Ibu kepada enam anak, Maisarah Mohd Mokhtar, 39, berharap kebajikan penduduk di Tambun terus terbela di bawah pimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Katanya, rakyat masih mengharapkan suntikan bantuan daripada kerajaan bagi membantu meringankan beban terutama melibatkan ahli yang mengalami sakit atau hilang pekerjaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad memberi jaminan, pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri membawa impak positif kepada penduduk Tambun.
"Ini adalah sejarah yang dicipta oleh pengundi Tambun sendiri.
"Saya selaku ADUN dan Ketua Cabang bawah kawasan Perdana Menteri akan melakukan yang terbaik untuk rakyat serta memudahkan tugas Ahli Parlimen Tambun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!