Sabah sedia kerjasama dengan kerajaan Persekutuan
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi manfaat dan kebaikan bersama.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menaruh keyakinan akan wujud kerjasama erat untuk merealisasikan pelbagai aspek pembangunan termasuk usaha menunaikan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara kerajaan Sabah dengan Persekutuan yang baharu dibentuk di bawah pimpinan Anwar.
"Pengalaman luas Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini akan mampu membawa kebangkitan ekonomi yang sangat diperlukan untuk rakyat dan pembangunan seluruh negara pada masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau juga berharap manifesto Pakatan Harapan (PH) termasuk memperkasakan wilayah Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan sebaiknya.
Sebelum itu, Hajiji turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!