GPS terima permohonan maaf DAP: Abang Jo

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima permohonan maaf DAP dengan hati terbuka dan berjiwa besar, kata Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, baginya yang penting DAP mengakui kesilapan mereka dan bersedia membuka lembaran baharu dalam hubungan antara kedua-dua parti politik itu.

Mereka (DAP) sebut mahu buka lembaran baharu tapi pada masa sama mereka perlu hormat komponen parti kami (GPS) iaitu SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak).

"(Permohonan maaf) itu menunjukkan kami (GPS) kami di pihak benar selama ini dan politik kami adalah politik bersih,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di sini, pada Khamis.

DAP pada Khamis membuat permohonan maaf atas sebarang kenyataan dibuat pemimpin parti itu sebelum ini yang menyinggung perasaan kerajaan negeri serta rakyat Sarawak.

Permohonan maaf itu disampaikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kepada Abang Johari dalam satu pertemuan di kediaman Abang Johari di sini, pada Khamis.

Menerusi kenyataan di media sosial miliknya pada Khamis, Anthony berharap pertemuan itu akan membuka satu lembaran baharu untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif.

GPS yang merupakan gabungan empat parti Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU15. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!