198 PATI ditahan dalam Ops Sapu di Gebeng

Pegawai Imigresen melakukan pemeriksaan ke atas PATI yang ditahan dalam Ops Sapu di kawasan Perindustrian Gebeng pada Khamis.
Pegawai Imigresen melakukan pemeriksaan ke atas PATI yang ditahan dalam Ops Sapu di kawasan Perindustrian Gebeng pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Imigresen Pahang menahan 198 pendatang asing tanpa izin (PATI) sempena Ops Sapu di penempatan pekerja di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini pada awal pagi Khamis.

Pengarahnya, Muhammad Hatta Kassim berkata, PATI yang ditahan terdiri 127 lelaki termasuk seorang bayi warga Myanmar, 37 wanita Myanmar dan 21 lelaki serta lapan wanita warga China.

Menurutnya, turut ditahan dua lelaki Bangladesh, dua lelaki Pakistan dan seorang warga India.

"Hasil pemeriksaan mendapati semua yang ditahan masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah serta tinggal lebih masa.

"Kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Kemayan, Bera untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Muhammad Hatta berkata, hasil siasatan awal mendapati penempatan itu dijadikan tempat tinggal bagi pendatang asing yang disyaki bekerja di kilang berhampiran.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan majikan yang bertanggungjawab melindungi mereka dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi," katanya.

Tambah beliau, sepanjang tahun 2022, Jabatan Imigresen Pahang menahan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap 73 individu kerana melindungi PATI.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melindungi PATI dan diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak imigresen sekiranya mempunyai maklumat berhubung perkara itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!