Cekal hadapi pahit getir politik, Anwar kini terajui Malaysia

Anwar mengaminkan bacaan doa selepas selesai menandatangani Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 pada istiadat pengurniaan yang berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara. - Foto Bernama
Anwar mengaminkan bacaan doa selepas selesai menandatangani Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 pada istiadat pengurniaan yang berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada Khamis, selepas dikatakan sebagai calon Perdana Menteri paling lama menanti untuk menyandang jawatan hampir 25 tahun.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR berusia 75 tahun itu tidak asing dalam pentadbiran negara kerana beliau pernah menjadi timbalan perdana menteri sebelum dipecat pada 1998 dan kemudian dipenjarakan atas tuduhan yang menurutnya adalah percubaan bermotifkan politik untuk menamatkan kerjayanya.

Anwar telah menawan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang baru sahaja berakhir yang menyaksikan PH memenangi 82 kerusi dengan Parlimen tergantung, namun diselesaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas berbincang dengan Raja-Raja Melayu.

Perdana Menteri baharu ini yang dikenali sebagai seorang pemimpin yang bijak berpidato, dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menelusuri kehidupannya, Anwar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Cherok Tok Kun dan Sekolah Stowell, pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya.

Bergiat aktif dalam bidang politik sejak di universiti lagi, Anwar mengasaskan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan menjadi Presidennya sehingga 1982.

Pada masa yang sama, beliau juga menjadi anggota jawatankuasa Majlis Belia Asia, anggota Majlis Belia Dunia serta anggota jawatankuasa rantau Asia Pasifik pada Perhimpunan Belia Sedunia.

Pada 1982, Anwar menerima pelawaan Perdana Menteri keempat Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai UMNO dan pentadbirannya.

Mula menjadi Ahli Parlimen pada tahun yang sama setelah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dan dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau memegang jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983) setahun selepas itu, Menteri Pertanian (1984) dan Menteri Pendidikan (1986).

Artikel Berkaitan:

Terus mengukir nama dalam pentadbiran negara di bawah pemerintahan Perdana Menteri keempat Dr Mahathir, Anwar diberi kepercayaan memegang jawatan menteri kanan apabila dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 1991.

Kerjaya politik bapa kepada enam cahaya mata ini terus bersinar apabila dilantik mengisi jawatan nombor dua negara iaitu sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993.

Sepanjang penglibatannya dalam kerajaan sebelum ini, Anwar pernah mengharumkan nama negara apabila dinobat sebagai Menteri Kewangan terbaik Asia pada 1996. Namun pada 2 Sept 1998, Anwar dipecat daripada jawatan berkenaan dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada 1999.

Berada di sebalik tirai besi, tidak menghentikan perjuangan suami kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ini apabila terus menggerakkan agenda reformasi dan membuat percaturan politik tanah air melalui partinya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Anwar kemudian dibebaskan pada 2004 namun tidak dibenarkan berpolitik selama lima tahun berkuat kuasa dari tarikh pembebasannya.

Pada 2008, Anwar kembali ke Dewan Rakyat setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh atas tiket PKR apabila Wan Azizah yang juga anggota Parlimen kawasan itu, meletak jawatan bagi memberi laluan kepadanya untuk bertanding.

Anwar seterusnya berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013. Beliau, bagaimanapun, dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 2014 yang menyebabkannya sekali lagi hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Berikutan kerjasama politik dengan Tun Dr Mahathir (yang keluar UMNO pada 2016), PH menang PRU ke-14 pada 2018, yang menamatkan pemerintahan enam dekad Barisan Nasional (BN).

Anwar telah diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V ketika itu yang membolehkan beliau aktif semula dalam poliltik.

Pada 18 November 2018, Anwar sah diangkat sebagai Presiden PKR pada Kongres Nasional PKR ke-13 selepas Wan Azizah melepaskan jawatan itu.

Pada bulan yang sama, Anwar bertanding di PRK Port Dickson dan memenangi kerusi itu dengan majoriti 23,560 undi, sekali gus menempatkan dirinya sekali lagi dalam Dewan Rakyat.

Hubungan kerjasama politik Anwar dan Tun Dr Dr Mahathir, yang menjadi Perdana Menteri ketujuh dan menerajui kerajaan PH, tidak bertahan lama apabila pada 2020 timbul isu peralihan kuasa perdana menteri dan insiden Langkah Sheraton, yang menyebabkan kerajaan PH tumbang.

Rentetan Langkah Sheraton itu yang menyaksikan Tun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu, Anwar diangkat sebagai Pengerusi PH dan menerajui gabungan itu, serta kekal sebagai Ketua Pembangkang.

Anwar menjadi pengerusi PH selepas Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu, komponen PH pada 24 Februari, tetapi Anwar kekal sebagai Ketua Pembangkang semasa Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Anwar mengetuai PH yang menyaksikan gabungan parti PKR, DAP, Amanah, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan rakan sekutu MUDA memperoleh 82 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!