Perkasa isu integriti, kembalikan keyakinan rakyat

Tricia Yeoh
Tricia Yeoh
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan baharu bakal dibentuk diharap dapat memperkasakan isu integriti dan mengembalikan keyakinan awam terhadap institusi penting yang menyemarakkan amalan demokrasi di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh berkata, keutamaan segera pihak kerajaan adalah meyakinkan rakyat dan para pelabur terhadap kestabilan politik Malaysia.

Untuk tujuan tersebut katanya, semua ahli parti gabungan yang menyokong persetujuan penubuhan kerajaan baharu perlu memastikan dapat berkhidmat selama lima tahun penuh.

Selain itu katanya, keutamaan ekonomi yang perlu diberi perhatian segera termasuk menguruskan kadar inflasi, mengukuhkan ringgit, meningkatkan jaringan keselamatan sosial, menyediakan bantuan bersasar kepada kumpulan berpendapatan rendah serta pengurusan hutang awam selaras dengan manifesto pilihan raya masing-masing.

"Pertamanya, IDEAS ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan bagi menunaikan amanah diberikan, selain tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menyumbang kepada lebih 70 peratus keluar mengundi.

"IDEAS juga menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong kerana mempamerkan kebijaksanaan ketika mengemudi proses pembentukan kerajaan ini sepanjang lima hari lalu.

"Namun, kami ingin menekankan kepentingan memberi jaminan kepada rakyat bahawa aturan ini akan kekal sepanjang tempoh memegang jawatan dengan satu mekanisme yang terbina dalam perjanjian parti gabungan untuk mengesahkan hal tersebut. Ketidakstabilan politik selama dua setengah tahun yang lalu harus segera dibaiki sekiranya negara ingin mencapai pemulihan ekonomi yang pesat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Tricia berkata, meskipun Malaysia sebahagiannya telah pulih daripada sekatan ekonomi sejak beberapa tahun belakangan ini, tetapi dijangkakan berlaku kemelesetan ekonomi pada tahun 2023.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu menurutnya, kepimpinan negara yang baharu harus bersedia untuk mengemudi negara ke arah yang betul untuk menahan sebarang kejutan ekonomi dalam beberapa bulan mendatang.

Atas sebab itu katanya, kerajaan baharu perlu membentangkan Belanjawan 2023 sebelum akhir tahun ini sebagai tindakan segera bagi memastikan perbelanjaan disediakan untuk tahun fiskal akan datang.

Jelasnya, memandangkan pembaharuan institusi telah ditonjolkan dengan ketara di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), IDEAS berharap keutamaan kerajaan akan diberikan dalam beberapa perkara antaranya Akta Pendanaan Politik, Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan serta meneruskan Akta Tanggungjawab Fiskal.

Tambahnya lagi, kerajaan perlu memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, memajukan lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, menyemak Peraturan Majlis Mesyuarat serta memisahkan Pejabat Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara.

Dalam jangka masa sederhana katanya, perkara yang perlu dilaksanakan adalah mempertingkat pembaharuan pilihan raya, mempertingkat kadar celik politik pengundi dan merealisasikan komitmen dasar mengenai Perjanjian Malaysia 1963.

"Memandangkan banyak gabungan yang membentuk kerajaan baharu, IDEAS mencadangkan agar kerajaan ini mengekalkan komposisi kabinet yang lebih kecil, melaksanakan usaha wajar yang ketat dan tetap terhadap portfolio menteri.

"Selain itu, bertanggungjawab mengelak daripada melakukan pelantikan politik yang berlebihan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau badan berkanun persekutuan (FSB) sebagai cara untuk memberi ganjaran kepada sokongan politik," katanya.

Sementara itu, Tricia berkata, kempen PRU15 menyaksikan banyak kenyataan yang menyinggung perasaan kaum dan agama.

Untuk itu katanya, kerajaan baharu yang terdiri daripada parti politik pelbagai ideologi dan kecenderungan perlu memainkan peranan penting dalam menangani keretakan masyarakat Malaysia disebabkan polarisasi.

"Membina sebuah masyarakat yang terangkum memerlukan usaha yang kuat dan ia memerlukan kejelasan serta kebijaksanaan yang besar dalam mengharungi lautan bergelora ini.

"IDEAS berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan baharu untuk bersama-sama memulihkan negara bersama kumpulan berkepentingan lain yang mewakili semua latar belakang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!