Nilai ringgit melonjak petanda Malaysia lebih baik
SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, nilai mata wang ringgit yang melonjak pada hari Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia adalah satu petanda ke arah Malaysia lebih baik.
Menurutnya, nilai mata wang ringgit naik ke RM4.495 berbanding dollar Amerika iaitu tertinggi sejak 6 September 2022.
"Pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada paras 1,501.88 tertinggi sejak 22 Ogos 2022.
"Petanda keyakinan kembali. Insya-ALLAH berkat doa dan usaha, semua akan menjadi lebih baik," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Khamis.
Kemelut politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 berakhir setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melantik Anwar sebagai perdana menteri.
Keputusan pelantikan itu dibuat setelah Seri Paduka Baginda memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu pada sesi perbincangan khas yang berlangsung pada Khamis, iaitu pada hari ke lima negara menanti pembentukan kerajaan baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!