Masih ada yang degil suka 'cop parking'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

HUJUNG minggu lalu, Merak Jalanan pergi ke sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Lembah Klang. Biasalah, setiap kali hujung minggu, bilangan kenderaan pun banyak dan sukar untuk mendapat petak parkir.

Setelah hampir 20 minit berlegar-legar, akhirnya Merak Jalanan dapat juga tempat untuk meletakkan kenderaan.

Tetapi tidak semena-mena Merak Jalanan dimarahi seorang wanita yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Sambil bercekak pinggang, wanita itu memberitahu bahawa petak parkir yang kosong itu sudah ‘bertuan’.

Perasaan lega bertukar geram kerana wanita tersebut enggan berganjak sebaliknya memberikan isyarat menunjukkan akan ada kenderaan lain yang ingin menggunakan parkir tersebut,

“Amboi kakak, senangnya hidup,” bisik hati Merak Jalanan. Ini adalah kali pertama Merak Jalanan berdepan dengan situasi ‘cop parking’.

Selama ini Merak Jalanan hanya melihat situasi sedemikian di media sosial, tidak sangka pula terkena batang hidung sendiri.

“Kakak, tau tak perbuatan kakak ini salah. Boleh kena penjara tau,” tegur Merak Jalanan, bagaimanapun langsung tidak dipedulikan, sebaliknya wanita tersebut memalingkan mukanya ke arah lain. Oleh kerana petak parkir itu masih kosong, Merak Jalanan tiada pilihan dan terpaksa juga meninggalkan kenderaan di situ.

Biarlah Merak Jalanan dianggap tidak gentlemen kerana fasiliti tersebut adalah kemudahan awam bukannya milik persendirian.

Artikel Berkaitan:

Apa pun, inilah realiti yang kita semua hadapi. Sikap segelintir individu suka ‘cop parking’ di kawasan tertentu atas kapasiti ‘dia jumpa dulu, maka dia punya’ benar-benar menyusahkan orang lain.

Ingatlah, perbuatan ‘cop parking’ sebenarnya satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!