Karnival tampil 68 usahawan
IPOH - Karnival Hartanah dan Usahawan Perak akan berlangsung esok menampil 68 usahawan dan lima pemaju perumahan di Bulatan Sultan Azlan Shah.
Pengarah Program, Saifullah Ahmad berkata, karnival tersebut merupakan yang terbesar pernah dianjurkan di negeri ini membabitkan hartanah dan usahawan.
Katanya, pelbagai program ditampilkan sempena karnival tersebut antaranya Forum Perdana Ehwal Islam, karnival kerjaya, pameran agensi, pertandingan e-Sukan dan sebagainya.
"Kita bercadang untuk jadikan program ini sebagai program tahunan di bawah Exco Pendidikan Islam, Agama, Usahawan dan Pembangunan Luar Bandar, Asmuni Awi.
"Sasaran kita sepanjang karnival sehingga Ahad ini adalah seramai 500,000 pengunjung," katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika di temui di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya, di sini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Program, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin berkata, program selama empat hari ini juga mendapat sokongan Pejabat Menteri Besar Perak dan idea daripada Asmuni.
Menurutnya, beberapa artis dan personaliti turut hadir membuat persembahan antaranya, Aishah dan Endang Hyder.
Beliau berkata, menariknya lagi, pada Sabtu nanti turut diadakan tayangan layar gergasi sempena perlawanan final kedua di antara Malaysia dan Vietnam.
Katanya, orang ramai boleh bersama-sama hadir ke karnival berkenaan bermula jam 9 pagi hingga 10 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!