Dua maut motosikal bertembung kereta

Keadaan motosikal dan kereta Proton Saga yang terlibat kemalangan. - Foto ihsan PDRM
Keadaan motosikal dan kereta Proton Saga yang terlibat kemalangan. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

JEMPOL - Dua maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga yang gagal memotong kenderaan lain di Jalan Besar Palong 7,8-Palong 4,5,6 di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.35 malam itu mangsa yang maut penunggang motosikal dikenali sebagai Sariffudin, 35 dan pembonceng Azamatul Alia, 28.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, ketika kejadian, mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha RXZ dalam perjalanan dari arah Palong 7,8 menghala ke Palong 4,5,6.

"Namun sebaik sampai di lokasi, Proton Saga dari arah bertentangan cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya tetapi gagal lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

"Kejadian itu mengakibatkan kedua-dua mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan kepada media pada Jumaat.

Menurutnya, pemandu Proton Saga lelaki berusia 26 tahun hanya mengalami luka di bahagian tangan kanan.

Ujarnya, pemandu terbabit yang beralamat dari Jerteh, Terengganu didapati menggunakan lesen memandu yang telah tamat tempoh.

"Siasatan mendapati punca kemalangan berlaku disebabkan pemandu Proton Saga yang cuai memotong dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!