Program MEKAR tingkat pendapatan
Seramai 1,000 peserta B40 di Kedah mendapat manfaat pada tahun 2021
BALING - Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) berjaya meningkatkan pendapatan hampir 1,000 peserta B40 dari kawasan luar bandar di Kedah pada tahun 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis berkata, pihaknya dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) melaksanakan Program Yayasan PETRONAS empowerNCER iaitu salah satu inisiatif dibawah program MEKAR untuk menyediakan latihan kemahiran dan keusahawanan.
“Sejak 2019, Yayasan PETRONAS giat menjalankan pelbagai program bertujuan membasmi kemiskinan dan mengurangkan kadar pengangguran. Program ini secara langsung telah mendukung aspirasi Yayasan PETRONAS untuk memperkasakan penjanaan pendapatan dan kelestarian kewangan golongan B40 di negara ini,” katanya.
Menurutnya, Yayasan PETRONAS juga telah menaja 1,400 peserta kumpulan kedua iaitu 1,000 peserta di Kedah dan 400 peserta di Perak untuk tahun 2022- 2023.
Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, objektif program empowerNCER adalah untuk meningkatkan kemahiran dan sosioekonomi masyarakat setempat dalam usaha memperkasa pendapatan mereka dan mencegah kemiskinan masa hadapan.
“Peserta diberi pendedahan mempelajari kemahiran baharu yang membolehkan mereka menjadi usahawan dan menjana pendapatan sekali gus merubah tahap sosioekonomi keluarga mereka,” ujarnya.
Ilmu pemasaran digital
Salah seorang peserta, Nazariah Saad, 49, berkata, banyak ilmu diperolehi daripada latihan berkenaan termasuk dari sudut memantapkan pengurusan perniagaan, kewangan, pemasaran digital serta nasihat dan bimbingan.
“Selepas mengikuti latihan ini, saya lebih bersemangat untuk mengembangkan perniagaan seperti membesarkan bengkel dengan matlamat mampu memenuhi permintaan tinggi pasaran.
“Saya juga telah berjaya menarik lebih ramai golongan wanita khususnya suri rumah, B40 dan masyarakat luar bandar untuk mengusahakan tanaman cendawan,” tambahnya.
Menurut Nazariah, kesan penggunaan pemasaran digital yang dipelajari, lebih ramai individu berminat mengusahakan cendawan termasuk dari Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
Dia kini mampu menampung kapasiti pengeluaran sebanyak 40 kilogram sehari namun masih memerlukan bekalan yang banyak memandangkan permintaan tinggi mencecah 100 kilogram sehari terutama daripada peniaga sayuran, pengusaha restoran dan gerai makanan.
Bagi memastikan cendawan dipelbagaikan kegunaannya, Nazariah menghasilkan produk terbaharu iaitu pekasam cendawan yang kini mendapat sambutan kira-kira 500 pek sebulan.
Ujarnya, beberapa perancangan sedang dirangka antaranya menghasilkan burger, nuget dan inti karipap berasaskan cendawan yang dijangka bakal mendapat sambutan memberangsangkan.
Sehingga kini, Nazariah yang memulakan tanaman cendawan sejak 2016 dengan hasil diperolehi sebanyak RM2,000 sebulan, telah berjaya menambahkan pendapatan mencecah RM10,000 sebulan.
Peniaga Nasi Pandan Ayam Menangis, Nur Mohd Zaffan Mohd, 27, dari Kampung Landak, Kupang, menyifatkan percaturan membuka gerai dalam tempoh pandemik Covid-19 sebenarnya membawa sinar baharu buat mereka sekeluarga.
Anak sulung daripada enam beradik ini dibantu ibu, Zaidah Husain, 49, yang merupakan penerima bantuan Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) untuk berniaga nasi setelah diberi tapak di Jalan Batu 42, Baling, berbanding sebelum ini hanya mengambil tempahan masakan dari rumah.
“Sebelum ini kami berniaga pelbagai jenis jam di pasar malam namun akibat pandemik, perniagaan merosot. Hasil bimbingan dan tunjuk ajar daripada Program Yayasan PETRONAS empowerNCER, kami beranikan diri jual nasi pandan. Alhamdulillah pendapatan bersih sebelum ini hanya RM500 sebulan kini meningkat kepada RM2,500 sebulan,” terangnya.
Menurut Nur Mohd Zaffan, dalam sehari dia boleh menjual kira-kira 100 bungkus nasi pandan berharga RM6 di mana jumlah jualan mencecah RM8,000 sebulan.
Lahirkan peserta berdaya saing
Dalam pada itu, Pengurus Kanan Wilayah Tengah dan Utara PETRONAS, Zukifli Othman, berkata, senada dengan aspirasi yang didukung Yayasan PETRONAS, pihaknya sentiasa menyantuni dan mengikuti secara rapat aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Yayasan PETRONAS empowerNCER demi memastikan usaha ini dapat dijayakan dengan sepenuhnya.
"Galakan turut diterima daripada pihak kerajaan negeri untuk meneruskan program ini selaras dengan sasaran agar para peserta sentiasa berdaya saing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!