Stojkovic pening Serbia gagal pamer semangat melawan
JURULATIH Serbia, Dragan Stojkovic pening memikirkan para pemainnya gagal memberi tentangan sengit sedangkan Brazil dilihat tidak berada terlalu dominan mengawal perlawanan dalam saingan pertama Kumpulan G Piala Dunia Qatar 2022 pada Jumaat.
Beliau bagaimanapun akur dengan kekuatan Brazil dan menerima kekalahan itu apabila tewas 0-2 kepada pasukan yang berada di ranking pertama dunia itu.
"Saya rasa Brazil dan Serbia beraksi pada tahap sama dalam 45 minit pertama. Saya tidak nampak Brazil lebih dominan dalam tempoh itu.
"Kami dikalahkan pada babak kedua, apabila keadaan fizikal pemain menurun dan kami tidak lagi bertindak sebagai satu pasukan, sudah tentu Brazil tahu bagaimana untuk menggunakan kesempatan itu.
"Kalah menentang Brazil tidak memalukan. Mereka berhak menang," kata Stojkovic pada sidang akhbar.
Brazil mengatasi Serbia pada aksi pembukaan menerusi dua gol Richarlison pada babak kedua sekali gus meletakkan juara lima kali itu di tangga teratas Kumpulan G.
Pengendali Serbia itu menegaskan pasukannya tidak cergas sepenuhnya, termasuk penjaring terbanyak pasukan, Aleksandar Mitrovic yang disenaraikan dalam kesebelasan utama.
"Kami hadir dengan pelbagai masalah ke Qatar. Ramai pemain yang cedera dan ia membabitkan beberapa pemain utama. Jadi sudah tentu ia menyedihkan.
"Terlalu banyak asakan pada babak kedua, kami memberi terlalu banyak ruang kepada Brazil. Pasukan saya lemah daripada segi fizikal, jadi saya ingin tahu kenapa. Ia mengejutkan kerana berasa ada sesuatu yang agak pelik," ujar Stojkovic.
Selepas ini Serbia akan berdepan Cameroon yang tewas 0-1 di tangan Switzerland pada Khamis.
"Kami memerlukan beberapa hari untuk berehat sebelum menghadapi perlawanan berikutnya.
"Bagi perlawanan seterusnya, kami perlu memikirkan apa yang terbaik dan pemain yang paling sihat untuk beraksi," ujar Stojkovic.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!