Bentuk kabinet kecil, gandakan tugas menteri
SHAH ALAM - Perdana Menteri diminta untuk mempertimbangkan semula lantikan jawatan Timbalan Menteri dalam barisan kabinet kerajaan perpaduan.
Pengarah Urusan (MD) Tony Blair Institute for Global Change, Abdul Jalil Abdul Rasheed berkata, tugas pertama Perdana Menteri adalah membentuk kabinet kerajaan lebih kecil dan cekap.
Jelasnya, sekiranya terdapat dua hingga tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan, mereka perlu gandakan tugas Menteri Penyelaras bersama Menteri-Menteri Kanan lain untuk mengawal selia bidang tertentu dalam bidang pertumbuhan pembangunan utama seperti infrastruktur, keselamatan, pembangunan negara dan ekonomi.
"Sebagai contoh kewangan, perdagangan antarabangsa, perdagangan dalam negeri diletakkan di bawah Menteri Penyelaras Ekonomi manakala pendidikan dan perpaduan berada di bawah Menteri Penyelaras Pembangunan Negara.
"Selain itu, Menteri Penyelaras Infrastruktur mengawal selia kewangan, pengangkutan dan tugas serta perumahan dan undang-undang dibawah Menteri Penyelaras Keselamatan.
"Ia adalah senarai yang tidak lengkap tetapi anda mendapat gambaran dan idea di situ," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Jumaat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang baharu di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara, pada Khamis.
Anwar memaklumkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dijangka akan diberikan kepada blok terkuat lain dalam kerajaan perpaduan iaitu Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sebelum ini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berjanji perkara pertama yang akan dilakukannya adalah memotong elaun perdana menteri jika gabungan itu menjadi kerajaan dan beliau sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau juga menjanjikan saiz jemaah Menteri yang lebih kecil serta membayangkan gaji dan elaun yang lebih rendah untuk menteri dan timbalan menteri.
Abdul Jalil menambah kementerian kewangan diberi banyak peranan untuk mengelakkan pertindihan serta memastikan keputusan dibuat lebih cepat dan Perdana Menteri mengawasinya.
Dalam pada itu, beliau berkata, agensi kerajaan di bawah setiap kementerian perlu diteliti sama ada mereka berada di bawah kementerian berkaitan.
"Sebagai contoh terdapat beberapa jabatan yang berkaitan dengan pengangkutan perlu diletak di bawah kementerian kewangan," katanya.
Beliau turut mencadangkan agar mengembalikan perkaitan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk menjadi pusat sehenti bagi semua pembangunan ekonomi supaya ada pemilikan semua inisiatif dan penjejakan atau pemantauan projek (pejabat pengurusan projek).
"Dengan sistem ini, anda mendapat penyelarasan lebih baik selain tidak perlu mencipta peranan baharu (orang yang sama gandakan) dan menggunakan agensi sedia ada untuk memberi tumpuan lebih tajam.
"Sekadar berkongsi perkara yang telah dilakukan oleh negara lain dengan lebih baik terutamanya dalam hal pelaksanaan yang mana ia selalunya menjadi titik sukar pada kerajaan," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!