Hishammuddin tegas tidak terlibat dalam PasLeak
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sekali lagi menegaskan tidak pernah terlibat dalam sebarang perancangan pembentukan kerjasama bersama Pas seperti didakwa dalam dokumen sulit 'Pas Leak'.
Bekas Menteri Pertahanan itu dalam ruangan komen di Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, beliau telah membuat kenyataan menafikan keterlibatkannya dalam sebarang rancangan seperti yang didakwa.
Untuk makluman Datuk Seri, saya telah pun menafikan report 'Pas Leak' ini yang mula tular pada bulan April tahun ini seperti berikut," sambil meletakkan pautan kenyatannya pada April lalu.
Hantaran di laman Facebook Najib pada Jumaat menamakan beberapa individu yang dituntut memberi penjelasan atau membuat laporan polis sekiranya kandungan dokumen berkenaan adalah palsu.
Hantaran tersebut menamakan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar; Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung Pas); Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air); Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Naib Presiden UMNO); Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (UMNO); Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu) dan Datuk Seri Hamzah Zainuddn (Setiausaha Agung Bersatu).
Sebelum ini, tular menerusi media sosial beberapa keratan dokumen kandungan minit mesyuarat melibatkan sebilangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) merancang strategi menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim juga menyatakan polis telah membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti laporan diterima daripada pengadu berkaitan dokumen 'PasLeak' yang memperincikan dakwaan perancangan politik membabitkan dua pemimpin Pas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!