Sembilan jam padam kebakaran

Api merebak hingga menyebabkan kilang memproses silikon di Jalan Perigi Nenas, Pulau Indah musnah sepenuhnya dalam kejadian malam tadi.
Api merebak hingga menyebabkan kilang memproses silikon di Jalan Perigi Nenas, Pulau Indah musnah sepenuhnya dalam kejadian malam tadi.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Kebakaran yang memusnahkan sepenuhnya kilang memproses silikon kelas A di Jalan Perigi Nanas, Pulau Indah, di sini, malam tadi, berjaya dipadamkan selepas sembilan jam operasi dijalankan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa agak lama bagi memastikan tiada lagi api di kawasan terbabit.

Menurutnya, walaupun api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 6 pagi tadi, namun pihaknya masih menempatkan beberapa anggota di lokasi kejadian hingga tengah hari untuk memantau keadaan.

“Kerja-kerja pemadaman api selesai Subuh tadi, namun masih ada beberapa kawasan masih berasap walaupun tiada bara api. Jadi untuk langkah keselamatan, kita tempatkan anggota bomba di situ untuk pastikan tiada lagi sumber yang boleh mengeluarkan api.

“Material silikon yang ada dalam kilang itu susah terbakar tetapi apabila sudah terbakar, kerja-kerja pemadaman api mengambil masa.

“Bila bomba padamkan api malam tadi, air yang digunakan bercampur dengan cecair terbakar dan ia mengalir ke kawasan lain menyebabkan api marak membakar keseluruhan kilang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Anggota bomba dan penyelamat giat melakukan kerja-kerja 'overhaul' bagi memastikan tiada sumber yang boleh mengeluarkan api.
Anggota bomba dan penyelamat giat melakukan kerja-kerja 'overhaul' bagi memastikan tiada sumber yang boleh mengeluarkan api.

Artikel Berkaitan:

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih belum diketahui dan pihak forensik sudah ke lokasi bagi menjalankan siasatan menyeluruh.

“Setakat ini kita belum dapat menilainya dan maklumat sama ada pekerja berada di dalam kilang ketika kejadian juga masih belum diketahui kerana pihak kilang masih belum memberikan maklumat,” katanya.

Kilang berkeluasan 1.214 hektar di Jalan Perigi Nenas, Pulau Indah itu terbakar kira-kira jam 8.45 malam tadi.

Kepulan asap masih kelihatan di sekitar kawasan kilang.
Kepulan asap masih kelihatan di sekitar kawasan kilang.

Susulan itu, lebih 80 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Andalas, Kota Raja, Sungai Pinang, Shah Alam, Serdang dan Telok Panglima Garang dikejarkan ke lokasi kejadian bersama enam jentera dan dua 'water tanker' serta jentera kompresor BATV tiba di lokasi jam 9.16 malam.

Operasi membabitkan 126 pegawai dan anggota bomba serta agensi lain, termasuk bomba sukarela, Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis bantuan dan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian mendapati, anggota bomba dan penyelamat giat menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan keadaan selamat.

Hanya tinggal kesan kebakaran dan asap masih menyelubungi kawasan berkenaan.

Kilang memproses silikon kelas A berkeluasan 1.21 hektar musnah sepenuhnya dalam kejadian malam tadi.
Kilang memproses silikon kelas A berkeluasan 1.21 hektar musnah sepenuhnya dalam kejadian malam tadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!