‘Pemilihan UMNO diadakan kurang dari enam bulan’ - Zahid
SHAH ALAM - Ahli-ahli UMNO diminta menunggu waktu membuat keputusan berhubung calon yang bakal menerajui kepimpinan parti sehingga pemilihan yang diadakan iaitu kurang enam bulan dari sekarang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apabila tiba waktunya, ahli-ahli boleh membuat keputusan untuk melakukan perubahan atau sebaliknya.
“Insya-ALLAH pemilihan parti akan berlangsung kurang enam bulan dari sekarang dan wajarlah kita menunggu waktunya sama ada untuk membuat perubahan atau mengekalkan jawatan calon yang kita mahu menjadi peneraju saf kepimpinan selepas ini.
“Pemimpin datang dan pergi, namun parti orang Melayu ini jangan diruntuhkan sama sekali,” katanya dalam siaran di Facebook rasmi beliau pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha menunjukkan sokongan beliau melalui Himpunan Solidariti Mempertahankan Institusi Presiden UMNO Malaysia pada pagi Jumaat.
“Setiakawan mereka yang hadir beramai-ramai ketika parti cuba disabotaj dari luar dan dalam, amat membanggakan kita semua.
“Pusaka nenek moyang kita yang masih teguh berdiri walau cuba dibubarkan oleh musuh dan wajib kita mempertahankannya bersama-sama hingga ke hujung usia,” ujarnya.
Pada Jumaat, media melaporkan kira-kira 70 orang berkumpul di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) bagi menunjukkan solidariti mereka kepada Presiden UMNO.
Penyokong yang dipercayai ahli UMNO itu, berpakaian merah menunjukkan solidariti mereka kepada Ahmad Zahid selepas beberapa pihak menuntut beliau untuk berundur daripada jawatannya berikutan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!