Angkasa harap PM beri perhatian sektor koperasi

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan perhatian kepada sektor koperasi dan melihatnya sebagai salah satu jentera penting dalam pengukuhan sosioekonomi rakyat negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, ia memandangkan koperasi adalah institusi yang sentiasa kekal relevan dalam menyumbang kepada kesejahteraan hidup, biarpun mendepani pelbagai cabaran ekonomi semasa.

Menurutnya, berdasarkan perangkaan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia, sehingga bulan Jun 2022, gerakan koperasi di negara ini berjumlah 14,975 dengan keanggotaan seramai 7.04 juta individu.

“Aset yang terlibat sebanyak RM156.2 bilion dan modal syer atau yuran sebanyak RM16.5 bilion. Perolehan gerakan koperasi sehingga 31 Disember 2021 pula mencapai RM37.9 bilion.

“Mengikut perangkaan tersebut, jelas menunjukkan keanggotaan koperasi mencapai kira-kira 20 peratus rakyat di negara ini dan menterjemahkan keyakinan mereka terhadap koperasi dalam membantu meningkatkan taraf hidup,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Abdul Fattah, gerakan koperasi pada masa ini terlibat dalam sektor berimpak tinggi dan komited menjadi penyumbang utama serta berkesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain sektor swasta dan kerajaan.

“Sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan, Angkasa menyokong kepimpinan ‘government of the day’ serta akan terus memperkukuh hubungan kerjasama secara lebih erat dengan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Datuk Anwar Ibrahim dalam membantu kerajaan menyelesaikan keperluan hidup rakyat seperti menyumbang kepada usaha menangani peningkatan kos sara hidup.

“Semoga kepimpinan beliau akan memperkukuh peranan serta sumbangan institusi koperasi kepada pembangunan sosioekonomi mapan, inklusif, adil serta berdaya saing.

Artikel Berkaitan:

“Saya mewakili kepimpinan tertinggi Angkasa dan warga koperasi di seluruh negara mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan tersebut dan mempunyai keyakinan yang amat tinggi bahawa Malaysia akan terus dipacu ke hadapan dalam mendepani cabaran dan isu semasa yang membelenggu kehidupan rakyat negara ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!