Syarikat swasta perlu beri peluang kepada OKU, kata TPM

Dr Wan Azizah menyampaikan anugerah Penghargaan Khas OKU Cemerlang kepada Mohd Huzairee Ahmad (kanan) dalam Program Santuni Rakyat Negeri Pahang dan Mini Job Fair di Kompleks Beli Belah Megamall di sini hari ini.
Dr Wan Azizah menyampaikan anugerah Penghargaan Khas OKU Cemerlang kepada Mohd Huzairee Ahmad (kanan) dalam Program Santuni Rakyat Negeri Pahang dan Mini Job Fair di Kompleks Beli Belah Megamall di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Majikan swasta terutama syarikat-syarikat korporat ternama di negeri ini diseru membuka peluang pekerjaan kepada golongan kelainan upaya (OKU) dalam usaha membantu proses pemulihan dan sosialisasi mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana terdapat sejumlah 32,611 OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia Pahang dan hanya 0.51 peratus pencapaian pekerjaan di sektor awam.

"Saya harap angka ini akan terus meningkat dan InsyaALLAH sasaran satu peratus akan dapat dicapai.

"Penyertaan OKU dalam pasaran pekerjaan adalah sangat signifikan kerana ia bukan sekadar sumber pendapatan untuk mereka berdikari bahkan bagi tujuan pemulihan dan sosial mereka.

"Justeru saya menyeru majikan-majikan swasta terutama syarikat korporat di Pahang untuk turut sama-sama membuka peluang kepada golongan OKU bekerja," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Santuni Rakyat Negeri Pahang dan Mini Job Fair di Kompleks Beli Belah Megamall di sini hari ini.

Menurutnya, dalam program tersebut lebih 100 orang OKU hadir mendaftar untuk mencari pekerjaan.

Dalam Mini Job Fair tersebut, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bekerjasama dengan Jobs Malaysia khusus untuk OKU mencari pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Lima syarikat swasta membuka kaunter temuduga OKU iaitu Berjaya Reflexology Center; Imperia Academy of Tourism; Vacuumschmelze (M) Sdn Bhd; Engtex Ductile Iron Pipe Industry Sdn Bhd dan Ambang Wibawa Sdn Bhd.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah turut melahirkan keprihatinan berhubung jumlah OKU yang berdaftar dengan JKM apabila hanya 513,519 OKU mendaftar berbanding jumlah keseluruhan 4.86 juta OKU yang dianggarkan di negara ini.

Beliau menyeru ibu bapa, penjaga dan OKU itu sendiri yang masih belum mendaftar dengan JKM untuk segera berbuat demikian bagi memastikan kebajikan mereka terbela.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!