Kemenangan bermakna buat PDRM
KOTA BHARU - Pengurus Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar mengakui kemenangan 1-0 ke atas Kelantan malam tadi, dalam saingan Liga Premier cukup bermakna buat pasukannya.
Kamarul Ariffin berkata, ia hadir selepas pasukannya ditimpa kekalahan demi kekalahan sehingga menyaksikan skuad The Cops terperosot di dasar liga, sejak awal musim ini.
"Sebenarnya ini misi harus menang dengan segala perubahan kita lakukan dan saya beri pujian kepada barisan kejurulatihan terutama Ela (E Elavarasan) kerana buat kerja dengan baik.
"Saya dah lalui lima perlawanan sebelum ini dan sering kalah. Saya berpandangan ramuan yang baik jika tukang masak tak bagus, maka hasilnya tak baik," katanya dalam sidang media sejurus perlawanan itu.
Pada aksi tersebut, pemain import Korea Selatan, Lee Changhoon muncul wira apabila jaringannya pada minit ke-83 membantu PDRM melakar kemenangan pertama dalam liga musim ini sekali gus menlonjak keluar daripada tangga tercorot.
Sementara itu, penolong jurulatih PDRM, Wan Mustafa Wan Ismail memberitahu, dia sentiasa berkomunikasi dengan ketua jurulatih, E Elavarasan yang kini menyertai kursus kejurulatihan di Indonesia bagi mempersiapkan pasukan menghadapi Kelantan.
"Saya mendapat beberapa input dari Ela dan beritahu kepada pemain, mereka perlu lebih sabar dan yakin ketika berada di depan pintu gol. Mereka mengikut arahan ini dengan berkesan dan ini memberi kemenangan pertama kepada kita,” katanya.
Menurutnya lagi, kejayaan menewaskan Kelantan adalah satu permulaan positif tetapi dia mengingatkan barisan pemainnya agar tidak terbuai-buai dengan kemenangan tersebut.
“Tekanan memang sentiasa ada, masih terlalu awal kerana ada lebih kurang 12 perlawanan lagi. Memang kita bermula dengan langkah baik selepas pertukaran pemain dan jurulatih dan ini satu perangsang untuk kejar kelompok pasukan teratas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!