Khairy ucap tahniah kepada Anwar

Tangkap layar hantaran ringkas Khairy di Facebooknya pada Jumaat.
Tangkap layar hantaran ringkas Khairy di Facebooknya pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tampil melahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Beliau berkata, selepas hampir seminggu Malaysia berhadapan dengan ketidaktentuan dalam pentadbiran, adalah amat penting untuk negara kini mempunyai hala tuju yang jelas.

“Walaupun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mungkin tidak seperti yang saya harapkan, namun kepentingan negara mengatasi segalanya.

“Saya pernah menjadi anggota Kabinet dan memahami cabaran yang dihadapi oleh Perdana Menteri baharu kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pasukannya.

“Tahniah kepada DSAI dan semoga berupaya mengharungi cabaran-cabaran mendatang dengan baik,” katanya menerusi satu hantaran ringkas di Facebooknya pada Jumaat.

Pada PRU15 lalu, Khairy yang mewakili BN untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh tewas di tangan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk R Ramanan dalam persaingan membabitkan tujuh penjuru.

Ramanan memperolehi 50,943 undi dan menang dengan majoriti 2,693 undi manakala Khairy pula mendapat sokongan 48,250 undi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!