Cabaran Malaysia di MOSC berakhir
[DIKEMAS KINI] CABARAN skuad skuasy negara di Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2022 (MOSC) berakhir selepas pemain perseorangan wanita negara, Rachel Arnold tumpas di tangan Nele Gilis dari Belgium dengan 3-2 dalam saingan separuh akhir, pada Jumaat.
Dalam kejohanan di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, pemain pilihan kelapan Rachel bermula dengan persembahan yang baik apabila meraih kemenangan 12-10, sebelum pemain pilihan kedua Gilis pula memenangi dua set berikutnya dengan 11-0, 11-9.
Pemain nombor 26 dunia Rachel kembali menyerlah dalam set ketiga dengan kemenangan 11-7, namun akhirnya tewas di set berikutnya di tangan pemain pilihan ke-14 itu.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Rachel, 26, berkata, beliau kini akan mengalih tumpuan kepada Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia, Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) di Kaherah, Mesir yang dijadualkan 10 hingga 16 Disember ini.
Katanya, beliau akan berusaha untuk memasuki senarai 20 ranking terbaik dunia tahun depan, di samping menjuarai lebih banyak kejohanan, selepas melakar kejayaan di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dengan meraih pingat gangsa dalam kategori beregu wanita bersama pasangannya Aifa Azman.
Dalam satu lagi saingan separuh akhir pemain pilihan pertama dari Amerika Syarikat, Olivia Fiechter menewaskan pemain pilihan ketiga dari Wales, Tesni Evans dengan 7-11, 11-7, 11-1, 11-7.
Sementara itu, seorang lagi pilihan pertama dari Mesir, Tarek Momen, menepati jangkaan ramai apabila beliau mara ke peringkat akhir, dan akan akan bertemu dengan rakan senegara Mazen Hesham, pilihan ketiga dalam kategori perseorangan lelaki, esok.
Tarek mengambil masa hanya 27 minit untuk menewaskan pemain Switzerland Nicolas Mueller dengan 11-8, 11-6, 11-4, manakala Mazen menundukkan pemain pilihan kedua dari Wales, Joel Makin, dengan 11-7, 11-9, 11-13, 11-3. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!