Ekonomi negara akan kembali disegani
SHAH ALAM - Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal membawa kembali ekonomi Malaysia ke arah yang lebih disegani oleh negara lain, kata Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Dzulkefly Ahmad.
Sebagai tokoh Islam yang disegani masyarakat antarabangsa, beliau berkata, Anwar merupakan individu yang mampu membawa harapan baharu dalam agenda melawan dan membanteras amalan rasuah, nepotisme, salah guna kuasa serta kleptokrasi.
“Amat didambakan dengan kepimpinan tokoh reformasi ini, ekonomi Malaysia sekali lagi, akan kembali dalam trajektori untuk dimartabatkan sebagai antara Harimau Asia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Dzulkefly berkata, segala dugaan yang dilalui Anwar menerusi jatuh bangun perjuangannya selama 24 tahun lalu telah menjadikan Ahli Parlimen Tambun itu sebagai insan yang berjiwa waja, cekal dan tabah untuk mengharungi segala cabaran akan datang.
“Ayuh bersama kita mendoakan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus diberi taufik dan hidayah ALLAH, untuk terus memimpin negara tercinta ini.
“Dengan berkat doa dan sokongan kalian, serta pasukan kabinet perpaduan yang bakal dibentuk, Malaysia akan kembali bersinar dan bermaruah di mata dunia.
“Malaysia amat berhajatkan tokoh dan pemimpin reformasi ini buat memacu reformasi atau 'islah' yang tulen dan sebenarnya,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!