Exco perlu bersikap profesional, terima rombakan: Mohd Khuzzan
JOHOR BAHRU - Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar menyatakan kesediaan dirinya untuk berundur daripada barisan Exco Kerajaan Johor sekiranya dilihat tidak berkelayakan menggalas tanggungjawab tersebut.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai syarat rombakan barisan Exco kerajaan negeri yang ditetapkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk melantik Menteri Besar Johor yang baharu.
"Pada pandangan saya sendiri, sebagai Exco kita haruslah bersikap profesional. Kita perlu bersedia menerima sebarang kemungkinan.
"Ke mana sahaja kita diletakkan selepas ini, ke mana jabatan sekali pun kita kena bersedia dan pastikan diri dapat memberi khidmat yang terbaik," katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Pelancaran Kad JDT dan Yayasan JDT di Kafe JDT, di sini sebentar tadi.
Mohd Khuzzan berkata, soal rombakan barisan Exco yang mahu dilakukan sepatutnya tidak perlu dijadikan isu kerana perkara tersebut bukan sesuatu yang luar biasa.
"Untuk ini, Menteri Besar akan menyusun nama barisan Exco dan selepas itu mendapatkan perkenaan Tuanku. Itu perkara normal atau prosedur biasa untuk proses ini.
"Menteri Besar akan siapkan nama untuk portfolio setiap Exco dan kemukakannya kepada Tuanku, selepas itu semuanya atas pertimbangan baginda sendiri," katanya.
Dalam masa sama, mengenai senarai calon yang berkemungkinan dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-17, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberikan kerjasama dan sokongan.
"Sesiapa pun yang dilantik, saya yakin itu keputusan terbaik. Saya juga akan memberikan sokongan penuh kepada beliau," katanya.
Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani memaklumkan Sultan Johor sudah memberi perkenan mengenai surat peletakan jawatan yang dikemukakan Datuk Osman Sapian menerusi satu pertemuan di Istana Pasir Pelangi, hari ini.
Turut dimaklumkan, Istiadat Pelantikan Menteri Besar Johor ke-17 akan berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene pada jam 9.30 pagi, esok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!