Deschamps harap Les Bleus cepat belajar
PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps berharap Les Bleus belajar daripada kekalahan mengejut Liga Negara-Negara kepada Denmark menjelang pertembungan Kumpulan D Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium 974, Rass Abou Aboud, Doha pada tengah malam Ahad.
Penyandang juara yang juga pendahulu kumpulan sebelum ini memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan membelasah Australia 4-1.
Namun Denmark, yang bermula dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Tunisia, mengintai peluang untuk mencipta kemenangan hatrik ke atas Les Bleus, setelah menewaskan Perancis 2-1 di Paris 4 Jun lalu diikuti 2-0 di Copenhagen, 26 September lalu.
“Denmark dipandang remeh sebagai sebuah pasukan sebelum ini.
“Kami bercakap berkenaan tempoh empat bulan lalu di mana Denmark menewaskan kami dua kali dan menyukarkan hidup kami. Kami perlu memastikan perkara itu tidak lagi berulang pada hujung minggu ini.
“Ia bukan soal balas dendam kerana kami mengenali pemain Denmark dan mereka juga mengenali corak permainan Perancis. Mereka juga boleh dengan mudah menukar sistem permainan daripada satu perlawanan kepada perlawanan lain dan itu boleh memberi kami pelbagai jenis kesukaran untuk menghasilkan keputusan positif,” kata Deschamps.
Dalam pada itu Deschamps dijangka terpaksa melakukan sekurang-kurangnya satu pertukaran terhadap kesebelasan utama yang bermula menentang Australia selepas pertahanan Bayern Munich, Lucas Hernandez tidak dapat menyertai baki kejuaraan berikutan kerana kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL).
Perkembangan itu bakal menyaksikan abangnya Theo Hernandez menggantikannya, manakala bek tengah Manchester United, Raphael Varane pula cergas untuk memulakan perlawanan, namun pemain sayap Kingsley Coman (kecederaan pinggul) tidak menyertai sesi latihan.
Sementara itu, kapten Perancis Hugo Lloris berkata, kekalahan kepada Denmark itu menjadi amaran kepada Les Bleus, namun menegaskan pasukannya tidak memerlukan insentif tambahan kerana akan berusaha untuk mengesahkan slot peringkat kalah mati.
“Dua kekalahan itu secara tidak langsung memberi gambar dan maklum balas tahap pencapaian pasukan Denmark ini.
"Ia juga merupakan titik tolak kebangkitan untuk Perancis. Kami tidak memerlukan sebarang motivasi tambahan. Kami sedar sepenuhnya semuanya akan bergantung kepada persediaan sebelum perlawanan.
“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan penentu untuk kelayakan. Setiap pasukan berada di tempat yang baik dari segi fizikal dan sukan. Kami tahu ia akan menjadi satu cabaran besar – dan kami perlu bersedia,” kata penjaga gol kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!