Beri ruang kepada Anwar pimpin negara: Mohd Shafie

Mohd Shafie ketika ditemui pemberita di DUN Sabah, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie ketika ditemui pemberita di DUN Sabah, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Beri ruang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara, kata Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, kerajaan perpaduan yang dibentuk atas nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi tunggak supaya negara bergerak ke hadapan.

"Kita kena bagi ruang kepada Datuk Seri Anwar untuk memimpin negara kerana beliau juga mempunyai pengalaman.

"Jadi saya yakin sekiranya kita bagi ruang. Itu pun dinasihatkan oleh Seri Paduka Baginda supaya kita wujudkan satu penyatuan, itu menjadi tunggak. Perpaduan sangat penting untuk negara maju ke hadapan," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pandangannya berhubung pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ditanya mengenai jawatan terpenting yang mungkin akan diberikan kepada beliau di peringkat Persekutuan, bekas Ketua Menteri Sabah itu menyatakan bahawa beliau belum mendapat makluman mengenainya lagi.

"Saya tidak dengar apa-apa mengenainya. Saya belum bertemu dengan Datuk Seri Anwar. Saya akan bertemu dengannya pada minggu hadapan.

"Mungkin selepas sidang DUN minggu hadapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berkaitan kerjasama antara Warisan dengan PH, Mohd Shafie berkata, pihaknya sudah mempunyai pengalaman untuk bekerjasama dengan PH pada PRU14 yang lalu.

"Kita sudah bekerjasama dengan PH sebelum ini, kita sudah ada pengalaman pada PRU14 jadi tiada persoalan untuk kita bekerjasama rapat bersama.

"Kita juga antara yang terawal menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar dan juga Barisan Nasional (BN)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!