KDM sokong Hajiji, GRS terajui Sabah
KOTA KINABALU - Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) turut menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpinnya untuk terus menerajui kerajaan Sabah.
Timbalan Presidennya, Datuk Wetrom Bahanda berkata, ia selaras dengan ketetapan dan pendirian Hajiji dan kerajaan GRS yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan.
Menurutnya, Anwar dalam kenyataannya pada Jumaat telah mengesahkan sokongan GRS dalam kerajaan perpaduan.
"Semasa perjumpaan khas KDM bersama Perdana Menteri yang diketuai oleh Presiden parti, Datuk Peter Anthony pada Jumaat, Perdana Menteri telah menyatakan sokongan kepada Hajiji untuk terus menerajui dan mentadbir Sabah selaras dengan sokongan GRS kepada kerajaan perpaduan.
"Justeru KDM dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong Hajiji dan GRS untuk terus mentadbir dan menerajui kerajaan Sabah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah Wetrom lagi, sudah tiba masanya kerajaan perpaduan membangunkan negara khususnya di Sabah selepas selesainya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"PRU15 baru sahaja selesai, kita tidak mahu terlalu banyak berpolitik kerana sekarang adalah masanya kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut sama disokong dan didokong oleh Barisan Nasional (BN), GRS, KDM dan lain-lain parti bersama-sama membangun negara, negeri dan rakyat.
"Kini adalah masanya kita bersama-sama membangun dan membela rakyat dan negeri Sabah yang masih ketinggalan dalam banyak segi terutamanya kawasan luar bandar yang amat memerlukan pembangunan," katanya.
Sebelum itu, turut memberi sokongan kepada Hajiji ialah ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah supaya Ketua Menteri itu terus menerajui kerajaan Sabah sehingga habis penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berbaki tiga tahun lagi.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS sebelum ini turut melahirkan keyakinan bahawa kerajaan negeri dan Persekutuan boleh bekerjasama rapat untuk merealisasikan pelbagai aspek pembangunan, termasuk usaha mengembalikan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!