Peru lantik PM Kelima dalam tempoh 16 bulan

Chavez (kanan) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Castillo di Istana Kerajaan di Lima pada Jumaat. - Foto: Agensi
Chavez (kanan) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Castillo di Istana Kerajaan di Lima pada Jumaat. - Foto: Agensi
A
A
A

LIMA - [DIKEMAS KINI] Presiden Peru, Pedro Castillo pada Jumaat melantik Menteri Kebudayaan sebagai Perdana Menteri baharu negara itu selepas pendahulunya meletak jawatan kerana perbalahan di Parlimen.

Betssy Chavez, 33, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kelima di bawah pentadbiran Castillo yang memegang tampuk kepimpinan sejak 16 bulan lalu.

Betssy Chavez - Foto Facebook/Betssy Chavez
Betssy Chavez - Foto Facebook/Betssy Chavez

Peru mengumumkan rombakan kabinet selepas Anibal Torres mengumumkan pengundurannya pada Khamis.

Sebelum ini, Castillo telah berdepan dua kali langkah pemecatan di Parlimen selain disiasat di bawah enam kes rasuah termasuk tuduhan melibatkan keluarganya dan pengiring politik beliau.

Chavez juga menghadapi siasatan awal yang dilancarkan pejabat pendakwa raya berhubung dakwaan salah guna kuasa dan memberikan jawatan awam kepada teman rapatnya.

Difahamkan, pemimpin wanita itu perlu memohon proses undi percaya dalam tempoh 30 hari sebelum mengambil alih pejabat Perdana Menteri secara rasmi.

Barisan kabinet baharu termasuk 12 menteri dengan portfolio masing-masing yang telah disahkan menyaksikan Cesar Landa memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar, Willy Huerta sebagai Menteri Dalam Negeri, Daniel Barragan sebagai Menteri Pertahanan dan Kurt Burneo sebagai Menteri Ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Kesemua menteri baharu kecuali Burneo telah mengangkat sumpah jawatan pada malam Jumaat di Istana Kerajaan di Lima.

Pada awal bulan lalu, ribuan penunjuk perasaan mengadakan protes menuntut pengunduran Castillo yang merupakan bekas guru sekolah yang berjaya merampas jawatan tertinggi daripada elit politik tradisional Peru pada Julai 2021.

Castillo turut mendakwa tuduhan yang dilemparkan ke atasnya adalah bermotifkan politik dan beliau akan kekal menikmati imuniti sehingga penggal pentadbirannya berakhir pada Julai 2026. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!