[VIDEO] Pas ulangi pendirian tidak sertai kerajaan PH, DAP
SHAH ALAM - Pas mengulangi pendirian tidak akan menyertai kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dan DAP sebaliknya kekal sebagai pembangkang yang konstruktif.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia demi menghormati kepercayaan dan mandat majoriti rakyat khususnya pengundi yang telah memilih Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Setelah membuat pertimbangan dari pelbagai sudut serta meneliti pendapat umum, Pas berpendirian tidak akan menyertai kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Pakatan Harapan dan DAP.
“Pas akan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan menasihati semua pihak bagi memastikan tadbir urus negara berjalan lancar dan dapat ditegakkan berpaksikan kepada prinsip prihatin, bersih dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan gabungan itu bersedia merintis bentuk kerjasama lain dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ujarnya, kerjasama tersebut berbentuk hubungan antara kerajaan dan pembangkang kerana PN berpendirian tidak menyertai kerajaan yang diterajui PH.
"PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras prinsip prihatin, bersih dan stabil," jelas Muhyiddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!