Misi hidup mati Jerman
PERLAWANAN kedua Kumpulan E menentang Sepanyol menjadi penentu sama ada Jerman akan mara ke peringkat seterusnya dalam kempen Piala Dunia Qatar 2022.
Ini kerana, pasukan kendalian Hansi Flick itu sudah tewas 2-1 pada aksi pertama Kumpulan E menentang Jepun, Rabu lalu.
Justeru, penyerang Jerman, Kai Havertz menggesa agar rakan sepasukannya berjuang sepenuh tenaga pada aksi kedua Kumpulan E di Stadium Al Bayt pada awal pagi Isnin bagi mencerahkan peluang mereka mara ke peringkat seterusnya.
“Kami telah menganalisis permainan dengan baik dan melihat kelemahan kami serta kawasan yang kami perlukan untuk menjadi lebih baik.
“Sekarang kami perlu mendekati (Sepanyol) sebagai pasukan yang benar-benar kuat dan perlu meletakkan kaki kami di atas pemecut pada perlawanan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, pemain Chelsea itu berkata, dia dan rakan sepasukan sangat memahami kritikan yang diberikan kepada Jerman selepas kekalahan mengejut kepada Jepun.
Justeru, beliau berharap peminat-peminat Jerman memberi sokongan padu menjelang aksi tersebut.
"Kami tahu kami dikritik hebat ketika ini dan tidak semua orang akan berada di belakang kami selepas ini.
“Bagaimanapun masa lalu adalah masa lalu dan kami mempunyai perlawanan besar pada hari Ahad. Jadi kami berharap semua pihak akan memberi sokongan padu kepada kami pada aksi ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!