Agong mengemudi negara mengharungi tiga krisis politik
KEMELUT politik yang melanda negara selama enam hari yang membabitkan pembentukan kerajaan selepas berlangsungnya Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) telah menonjolkan peranan yang penting dalam negara iaitu Yang di-Pertuan Agong.
Sejak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditabalkan yang ke-16 pada 30 Julai 2019, Seri Paduka Baginda telah berdepan dengan tiga krisis politik iaitu peralihan kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac 2020, peralihan kerajaan PN kepada kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) pada 21 Ogos 2021, dan yang terkini iaitu kemelut pembentukan kerajaan persekutuan susulan PRU15 akibat Parlimen tergantung.
Namun, Seri Paduka Baginda berjaya mengemudi negara mengharungi ketiga-tiga krisis politik tersebut dalam tempoh yang singkat. Kejayaan ini dapat disandarkan kepada beberapa kualiti kepimpinan dan peranan yang dimainkan oleh Tuanku.
Mesra, prihatin dan menjiwai rakyat
Umum diketahui bahawa Seri Paduka Baginda seorang yang mesra dan menjiwai rakyat. Di pelbagai platform media, kita dapat melihat Seri Paduka Baginda sering menyantuni dan bergaul mesra dengan rakyat ketika waktu senang mahupun sukar.
Kerendahan hati dan jiwa rakyat Seri Paduka Baginda terserlah melalui momen-momen antaranya apabila Seri Paduka Baginda mencemar duli untuk singgah membeli juadah di gerai tepi jalan, menikmati makanan di restoran mamak, dan juga di KFC bersama Permaisuri Agong sekaligus beramah-mesra dengan rakyat Seri Paduka Baginda.
Lebih penting lagi, Seri Paduka Baginda turut menampilkan sifat keprihatinan ketika rakyat menghadapi waktu sukar. Hal ini dapat dilihat apabila Seri Paduka Baginda beberapa kali turun dari kenderaan bagi memeriksa mangsa dan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.
Selain itu, Seri Paduka Baginda turut mesra dan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat termasuklah warga tua, pesakit, kanak-kanak dan mereka yang terlibat dengan bencana seperti mangsa banjir.
Kemesraan dan keprihatinan kepada rakyat ini turut dikongsi oleh Permaisuri Agong khususnya dalam isu-isu yang dekat dengan hati Tuanku Permaisuri iaitu soal masakan dan bantuan rawatan kepada pasangan yang sukar mendapat anak.
Justeru, sifat Al-Sultan Abdullah yang mesra, prihatin dan menjiwai rakyat ini mendorong Seri Paduka Baginda untuk mengutamakan kepentingan rakyat dengan menerajui dan menyegerakan usaha untuk menamatkan krisis politik selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Seri Paduka Baginda di dalam Perlembagaan.
Neutral, bijaksana dan cermat
Bagi menjalankan kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan adil dan berkesan, Seri Paduka Baginda kekal neutral dan berada di atas politik kepartian.
Pendirian neutral ini penting bagi mengelakkan legitimasi kerajaan yang dilantik daripada dipertikaikan oleh rakyat.
Pendirian ini dapat dilihat apabila Al-Sultan Abdullah mengadakan pertemuan dengan ketua gabungan parti-parti politik dan ketua parti-parti politik serta ahli-ahli Dewan Rakyat bagi melantik Perdana Menteri susulan Langkah Sheraton dan tumbangnya kerajaan PN.
Dalam kes 'Parlimen tergantung', Seri Paduka Baginda turut mengadakan pertemuan dengan ketua gabungan PH dan PN serta wakil BN dan GPS.
Menurut Seri Paduka Baginda, tidak ada gabungan parti yang mempunyai majoriti mudah pada pertemuan awal Seri Paduka Baginda dengan ahli-ahli Dewan Rakyat bagi ketiga-tiga krisis politik.
Situasi ini menunjukkan bahawa Seri Paduka Baginda bersikap neutral dan hanya memihak kepada gabungan politik yang pada keyakinan Seri Paduka Baginda mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam krisis politik ini dapat dilihat melalui kaedah penentuan bagi perolehan kepercayaan majoriti.
Dalam krisis-krisis politik di atas, ketua gabungan parti-parti politik masing-masing mengumumkan bahawa mereka mempunyai majoriti mudah melalui perolehan akuan bersumpah (SD) daripada ahli-ahli Dewan Rakyat.
Namun, sebilangan SD ini saling bertindan antara dua kumpulan SD yang dihantar kepada Seri Paduka Baginda. Situasi ini mendorong Seri Paduka Baginda untuk mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat bagi mengesahkan SD meskipun kaedah ini akhirnya turut gagal membentuk kerajaan.
Dalam kes 'Parlimen tergantung', kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah terserlah apabila cadangan dan nasihat Seri Paduka Baginda tentang pembentukan kerajaan perpaduan diterima oleh majoriti gabungan parti-parti politik sekaligus menamatkan kekusutan pembentukan kerajaan baharu.
Selain itu, Seri Paduka Baginda juga merupakan seorang yang cermat dalam pembuatan keputusan. Hal ini dapat dilihat melalui tindakan Seri Paduka Baginda yang mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu bagi membincangkan permohonan kerajaan untuk mengisytiharkan Darurat bagi memerangi pandemik Covid-19.
Melalui rundingan ini, Al-Sultan Abdullah telah memutuskan untuk menolak permohonan pertama proklamasi Darurat oleh kerajaan tetapi memperkenankan permohonan kedua proklamasi Darurat dari 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.
Selain itu, rundingan dengan Raja-Raja Melayu turut diadakan dalam kes 'Parlimen Tergantung' bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat.
Situasi ini menunjukkan bahawa Seri Paduka Baginda seorang yang cermat dalam pembuatan keputusan, mengambil kira pandangan yang pelbagai dan mementingkan konsensus serta keputusan kolektif.
Semak dan imbang serta pendamai nasional
Selain daripada bidang kuasa rasmi Seri Paduka Baginda yang termaktub dalam perlembagaan, salah satu peranan penting Seri Paduka Baginda yang kurang ditonjolkan adalah peranan semak dan imbang terhadap eksekutif (kabinet).
Dalam konteks pengurusan pandemik, terdapat penumpuan kuasa yang berlebihan ke atas institusi Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Situasi ini membawa kepada pembentukan dan pelaksanaan dasar yang berpusatkan pemerintah antaranya pelaksanaan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Tindakan Kesihatan Awam.
Dalam konteks penutupan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), parti-parti pembangkang tidak dapat memainkan peranan semak dan imbang dengan berkesan lebih-lebih lagi apabila larangan rentas negeri dan daerah dikuatkuasakan.
Dalam konteks ini, Seri Paduka Baginda muncul sebagai institusi semak dan imbang yang berkesan kepada kabinet apabila Seri Paduka Baginda tidak memperkenankan nasihat kabinet untuk membatalkan Ordinan Darurat.
Sebaliknya, Seri Paduka Baginda menitahkan supaya kerajaan membuka Parlimen bagi membahaskan dan mengungkaikan Ordinan Darurat sebelum Darurat berakhir pada 1 Ogos 2021.
Meskipun Ordinan Darurat tidak dibahaskan dan diungkaikan ketika Parlimen bersidang, ketidakakuran kerajaan tersebut adalah pemicu yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PN.
Dalam krisis 'Parlimen tergantung', Seri Paduka Baginda turut memainkan peranan yang penting sebagai 'Pendamai Nasional' apabila Seri Paduka Baginda mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan.
Melalui cadangan ini, Seri Paduka Baginda mahu supaya semua gabungan parti-parti politik menghentikan perbalahan dan berdamai serta bersatu membentuk sebuah kerajaan yang stabil, inklusif dan padu.
Tanpa cadangan Seri Paduka Baginda ini, Barisan Nasional (BN) yang berperanan sebagai 'King Maker' dalam pembentukan kerajaan susulan PRU15, akan terus kekal neutral dan berfungsi sebagai pembangkang.
Tanpa kerjasama BN secara en bloc, kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan terbentuk. Bukan itu sahaja, cadangan Seri Paduka Baginda ini juga mengubah pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) kepada menganggotai kerajaan perpaduan.
Tanpa campur tangan Agong sebagai 'Pendamai Nasional', situasi 'Parlimen Tergantung' akan terus menjerumuskan negara ke dalam krisis politik yang berpanjangan sekaligus menjejaskan agenda pembangunan negara yang genting dan lebih mencabar dalam konteks ekonomi-politik antarabangsa yang dinamik dan tidak menentu.
Tuntasnya, kualiti kepimpinan dan peranan penting yang dimainkan oleh Seri Paduka Baginda telah berjaya membawa negara keluar dari tiga krisis politik yang membabitkan ketidakstabilan kerajaan dan kesukaran pembentukan kerajaan.
Kepusatan dan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam politik negara perlu diwar-warkan dan ditonjolkan agar rakyat dapat memahami dan menghayati konsep Raja Berperlembagaan yang penting bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran Malaysia. Daulat Tuanku!
*Dr Zaharul Abdullah merupakan Pensyarah Program Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!