Kedah tiada masalah bekerjasama dengan Persekutuan
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah tidak menghadapi sebarang masalah untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerjasama itu diharapkan terus terjalin di bawah konsep federalisme.
"Saya pun tidak dapat gambaran lagi bentuk apa sistem federalisme kita ini yang akan datang, namun saya rasa dalam sistem federalisme semua negeri ada hak yang sama.
"Kerajaan Persekutuan dan negeri akan terus menjalinkan kerjasama di bawah konsep federalisme dan saya rasa tidak ada masalah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Karnival Sains, Teknologi,Kejuruteraan dan Matematik (STEM) TS25 Peringkat Kebangsaan dan Sambutan 100 Tahun Penubuhan Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma (SKSA) di Dataran Permaisuri SKSA di sini pada Sabtu.
Muhammad Sanusi berkata, Kedah juga diyakini tidak akan dipinggirkan kerajaan Persekutuan meskipun adalah negeri pembangkang.
"Dalam dunia politik demokrasi sekarang ini sudah tidak mengizinkan perkara seperti itu (peminggiran). Jikalau gigih buat juga (peminggiran) memang cari nahas," katanya.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, keyakinan Perikatan Nasional (PN) untuk menang di Parlimen Padang Serai tidak akan terjejas dengan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri.
"Keputusan di Padang Serai akan menjadi manifestasi sokongan rakyat di kawasan Parlimen tersebut kepada pihak mana yang disukai mereka.
"Kalau mereka suka pihak sana, mereka akan undilah calon sana dan kalau mereka suka di sebelah sini, maka mereka akan undi calon kami. Tetapi saya rasa tak ada orang yang tak suka saya. Kami yakin untuk menang mudah di situ," katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi menyifatkan penganjuran karnival STEM ini sebenarnya suatu usaha baik bagi memastikan modal insannya mencukupi dan berkemahiran tinggi dalam usaha untuk memacu pembangunan negara dalam mendepani dunia Revolusi Industri 4.0.
Menurut beliau, penganjuran karnival ini dapat memberi pendedahan awal dan menarik minat murid mengenai perkembangan teknologi terkini serta kerjaya berkaitan bidang STEM dan sebagainya.
Sehubungan itu, menurut Muhammad Sanusi, pemilihan SKSA sebagai sebuah sekolah pelaksana adalah satu pilihan yang tepat selaras dengan sambutan 100 tahun penubuhannya dan kegemilangan yang dicapai oleh sekolah ini bukanlah rahsia lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!