Lelaki maut tertimbus tanah
CAMERON HIGHLANDS - Seorang pemandu jengkaut (backhoe) maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah ketika sedang menjalankan kerja mengorek tanah di Blue Valley dekat Kampung Raja di sini pada Sabtu.
Timbalan Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 12.54 tengah hari.
Menurutnya, seramai sembilan anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands dan dua jentera bergegas ke tempat kejadian.
"Sampai di lokasi didapati benar berlaku tanah runtuh yang menghempap dan melibatkan sebuah jentera mesin pengorek yang sedang membuat kerja tanah.
"Terdapat seorang lelaki dewasa berusia 37 tahun meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujar beliau, mangsa yang tertimbus telah dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan cangkul.
"Mangsa yang telah meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!