Berbekal semangat, ADUN Lumadan genggam Ijazah Sarjana

Ruslan ketika menerima Ijazah Sarjana Profesional Sains Politik di pada Majlis Konvokesyen UTMSPACE 2022 sempena Konvokesyen Ke-66 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dewan Sultan Iskandar, Johor.
Ruslan ketika menerima Ijazah Sarjana Profesional Sains Politik di pada Majlis Konvokesyen UTMSPACE 2022 sempena Konvokesyen Ke-66 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dewan Sultan Iskandar, Johor.
A
A
A


KOTA KINABALU - Semangat yang ada pada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam menjadi tonggak buat beliau menamatkan pengajian sekali gus mengenggam segulung ijazah dari Universiti Teknologi Malaysi di Dewan Sultan Iskandar, Johor pada Sabtu.

Ruslan, 60, yang menerima Ijazah Sarjana Profesional Sains Politik pada Majlis Konvokesyen UTMSPACE 2022 sempena Konvokesyen Ke-66 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut ditemani isterinya Datin Nursiah Santri.

"Alhamdulillah baharu selesai tadi di mana sesi konvokesyen berlangsung pada jam 8 pagi dan saya turut ditemani isteri ketika majlis itu.

"Hari ini saya menerima ijazah sarjana dalam bidang sains politik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Majlis konvokesyen itu disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Ditanya bagaimana berjaya menamatkan pengajian ketika mengalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat, beliau menjelaskan ia adalah disebabkan semangat yang ada padanya sepanjang pengajian dilakukan.

"Saya menjalani pengajian ini selama satu tahun setengah dan berjaya menamatkannya disebabkan yang pertama semangat, kedua jati diri dan ketiga kerana mahu maju ke hadapan sesuai dengan dunia hari ini yang dilihat tanpa sempadan.

"Pengajian saya juga berlangsung ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 di mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, jadi waktu itu amat sesuai di mana kita pun kurang aktiviti jadi saya fokus kepada belajar yang banyak dilakukan secara dalam talian," katanya.
Artikel Berkaitan:


Ruslan dalam pada itu tidak menolak latar belakang pendidikan seseorang ahli politik turut mendapat persepsi daripada pelbagai pihak, jadi sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menjadi seorang wakil rakyat yang berpendidikan.

"Ini juga sebagai pelengkap tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat yang lebih berpendidikan," katanya bapa kepada lima cahaya mata dan mempunyai 14 cucu.



Sebelum itu, beliau memaklumkan sudah berada di Johor Bahru untuk majlis konvokesyen itu sejak Khamis lalu dan kini dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu kerana perlu menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang akan berlangsung pada Isnin depan.

Ruslan yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) yang lalu berjaya menewaskan lapan pencabarnya sebelum dipilih sebagai ADUN Lumadan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!