Tiada percanggahan kenyataan
SHAH ALAM - Tidak ada percanggahan kenyataan membabitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tentang gabungan itu mahu memainkan peranan sebagai pembangkang atau menyertai kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, ini kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Takiyuddin itu dibuat sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri.
“Kenyataan Takiyuddin itu sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan dalam kenyataan tersebut ada menyebut akan dibincangkan dengan parti-parti komponen lain.
“Kenyataan Muhyiddin selepas hari kedua Anwar menjadi Perdana Menteri. Itu keputusan PN setelah dibincangkan.
“Keputusan itu kita tidak bersama dalam kerajaan dan kita sebagai pembangkang akan membawa mandat rakyat,” katanya kepada Sinar Ahad.
Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata bahawa Pas akan mengadakan pertemuan bersama parti komponen PN dalam waktu terdekat bagi membincangkan tawaran Anwar untuk menyertai kerajaan perpaduan.
Muhyiddin pula menyatakan bahawa PN bersedia merintis bentuk kerjasama lain dengan kerajaan pimpinan Anwar bagi memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat terjamin.
Kata Presiden Bersatu itu, kerjasama tersebut berbentuk hubungan antara kerajaan dan pembangkang.
Turut sependapat dengan Razali adalah Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menegaskan tidak ada percanggahan kenyataan membabitkan kedua-dua pemimpin itu.
“Tidak bercanggah (kenyataan), nanti mereka jumpalah. Ia akan pergi ke satu titik yang sama sahaja iaitu kita akan memutuskan pendekatan dan hubungan ini macam mana,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!