Mbappe pacu Perancis mara 16 terbaik
PENYANDANG juara Perancis, memperkukuhkan cengkaman Kumpulan D Piala Dunia Qatar 2022 apabila menjinakkan Denmark 2-1 dalam perlawanan di Stadium 974, Ras Abu Aboud pada Ahad.
Jaringan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappé pada minit ke-61' dan 86' sudah cukup memadam gol minit ke-68', Andreas Christensen.
Keputusan itu menyaksikan anak buah Didier Deschamps berjaya menebus dua kekalahan kepada skuad kendalian Kasper Hjulmand dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini.
Tiga mata itu juga membolehkan Les Bleus mengesahkan laluan ke pusingan 16 terbaik apabila mengumpul enam mata sambil diekori rapat Australia, dengan tiga mata.
Sementara itu, Danish Dynamite pula ketiga dengan satu mata diikuti Tunisia tercorot tanpa sebarang mata selepas masing-masing mengharungi dua perlawanan.
Perancis akan melabuh kempen berdepan Tunisia di Stadium Education City, manakala Denmark melayan Australia di Stadium Al Janoub pada 30 November.
Sementara itu Deschamps berkata: "Objektif pertama pasukan Perancis telah tercapai...
"Kumpulan ini terlalu kuat, mencabar dan setiap lawan mahu menghasilkan keputusan serta perkara yang hebat di kejuaraan ini."
Mengulas mengenai prestasi Mbappe, Deschamps berkata: "Apa yang boleh saya katakan, saya pernah mengatakannya sebelum ini - dia seorang pemain yang luar biasa. Dia mempunyai keupayaan untuk menjadi penentu, untuk menonjolkan diri daripada khalayak dan membuat perubahan dalam permainan Perancis.
"Kami kini juga lebih tenang menjelang perlawanan ketiga kerana setelah mengesahkan tempat dalam pusingan 16 terakhir, dan berharap akan menamatkan saingan di tangga teratas."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!