Barisan kabinet kerajaan perpaduan jadi tumpuan rakyat
SELEPAS tiga hari memegang tampuk kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menjadi tumpuan terutama dalam perihal pembentukan barisan kabinet dan pembentangan Bajet 2023.
Sehingga artikel ini ditulis, Sinar Harian difahamkan tiada sebarang perbincangan melibatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) mahupun parti yang menyokong pembentukan kerajaan perpaduan diadakan bagi membincangkan pelantikan barisan Jemaah Menteri.
Rata-rata pemerhati dan penganalisis politik berpandangan, Anwar yang juga pengerusi PH bakal berdepan dengan cabaran dalam menguruskan kerajaan perpaduan yang stabil dan kukuh.
Usaha menyatukan parti-parti politik yang berbeza idealogi juga merupakan ‘beban’ yang perlu dipikul Ahli Parlimen Tambun itu selain pembentangan Bajet 2023 yang perlu dilakukan bagi melaksanakan sekurang-kurangnya bayaran gaji untuk penjawat awam.
Namun hari ini tumpuan Anwar terarah kepada perbincangan bersama agensi dan jabatan terlibat mengenai kos sara hidup rakyat yang telah menjadi fokus utamanya setelah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Khamis lalu.
Tekanan kos sara hidup sudah semestinya menjadi perkara utama diperjuangkan rakyat yang mahu kerajaan melaksanakan langkah mengurangkan beban, apatah lagi tahun 2023 dikatakan seluruh dunia akan mengalami kemelesetan ekonomi.
Selain kos sara hidup, rakyat juga berharap pengawalan harga barang mentah, rumah mampu milik, bantuan tunai dan kenaikan gaji minimum turut diberi perhatian oleh kerajaan.
Walau siapa sahaja yang disenaraikan dalam barisan kabinet, apa juga penambahbaikan dalam pembentangan Bajet 2023 dan segala keputusan yang dicapai dalam mesyuarat khas isu kos sara hidup, rakyat pasti terima dengan hati terbuka dan mengharapkan yang terbaik untuk negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!