Kejayaan luar biasa JDT: Mohd Farizal
Penjaga gol berpengalaman itu berkata, kemenangan 2-1 ke atas Selangor FC pada aksi final di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini malam Sabtu, melengkapkan pencapaian gemilang skuad Harimau Selatan apabila menyapu bersih kesemua tiga trofi utama musim ini, selain muncul juara Piala Sumbangsih.
Lebih membanggakan Mohd Farizal, 36, ialah apabila beliau dan rakan sepasukan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kesemua pertandingan domestik musim ini iaitu Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.
"Kemenangan ini sangat bermakna kepada semua pemain kerana kita menguasai semua trofi saingan Liga Malaysia dan juga tanpa kalah dalam kesemua kejohanan domestik, ini suatu perkara luar biasa.
"Tahun depan sudah pasti sasaran kita lagi tinggi sebab telah memenangi segala-galanya musim ini dan tahun depan juga pasti berbeza kerana saingan liga ada tambahan pasukan dan perlawanan, saya harap barisan pemain bersedia,” katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir itu.
Pada final itu, Selangor terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-45 hasil sepakan penalti Herlison Caion De Souza Ferreira sebelum JDT bangkit meledak dua gol masing-masing menerusi Bergson Da Silva pada masa kecederaan babak pertama dan Fernando Forestieri pada minit ke-59.
Kejayaan itu membolehkan JDT mencipta kejayaan treble buat julung kalinya, selain berjaya mengulangi pencapaian memenangi Piala Malaysia pada 2017 dan 2019 serta mengubat kekecewaan tewas di pentas final edisi lepas kepada Kuala Lumpur (KL) City FC.
Sementara itu, Mohd Farizal yang menyarung jersi JDT sejak musim 2015 mengakui belum memikirkan soal persaraan dan masih bersemangat untuk membantu pasukan meraih lebih banyak kejayaan.
"Selagi saya diberi kepercayaan dan selagi saya tiada kecederaan serius dan sebagainya sudah pasti saya akan beri segalanya,” katanya yang tidak menolak kemungkinan beralih ke bidang kejurulatihan selepas bersara kelak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!