Kelantan tukar 226km paip libatkan belanja RM141.2 juta
KOTA BHARU - [KEMAS KINI] Kerajaan Kelantan giat meneruskan kerja-kerja penggantian paip lama sepanjang 226 kilometer (km) menerusi peruntukan RM141.2 juta di empat daerah di negeri ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor berkata, projek penggantian paip lama bagi menaik taraf sistem bekalan air bersih itu melibatkan daerah Tanah Merah, Kuala Krai, Kota Bharu dan Machang yang dijangka siap pada tahun 2024.
“Penggantian paip lama kepada baharu di Kelantan pada 2018 babit belanja sebanyak RM73.6 juta melibatkan jajahan Kota Bharu, Gua Musang dan Tumpat dengan paip baharu siap diganti adalah sepanjang 91km.
“Penukaran paip sepanjang 226km di Tanah Merah, Kuala Krai, Kota Bharu dan Machang itu pula sudah dimulakan pada tahun 2019,” katanya ketika Persidangan kali ketiga (Belanjawan) penggal kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darul Naim di sini pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kador menjawab soalan ADUN Tanjong Mas, Rohani Ibrahim.
Azami berkata, terbaharu di bawah pakej tiga melibatkan Kota Bharu Utara, Kota Bharu Timur, Tumpat, Kota Bharu 11 dan Kota Bharu Selatan berada dalam proses penyediaan dokumen tender.
“Cadangan projek di bawah pakej tiga ini melibatkan penyediaan paip sepanjang 95km yang dijangka siap pada tahun 2024,” katanya.
Dalam perkembangan sama, menurut beliau, pembinaan telaga di Loji Rawatan Air (LRA) Tanjong Mas di bawah pakej satu masih dalam proses pembinaan dan tarikh masuk tapak adalah pada 15 November 2021.
“Kemajuan kerja sehingga September 2022 mengikut jadual adalah pada tahap 77 peratus, namun perkembangan sebenarnya adalah pada tahap 70 peratus.
“Di bawah pakej dua pembinaan LRA Tanjong Mas, perancangan melibatkan kapasiti 30 juta liter air sehari (JLH) dan tarikh pengeluaran tender dijangka pada bulan ini," katanya.
Sementara itu katanya, sebahagian besar proses penukaran paip adalah bawah seliaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
“Penglibatan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) adalah dalam proses pembinaan loji,” katanya.
Mustapa sebelum ini pernah diberi kepercayaan beberapa Perdana Menteri sebelum ini dengan memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Kewangan II, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Pembangunan Usahawan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!