[VIDEO] Tiada ‘ganjaran’ berlebihan dalam pelantikan menteri Kabinet

Anwar ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara. - Foto Bernama
Anwar ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan tidak tergesa-gesa dalam memuktamadkan senarai Kabinet bagi mengelak lantikan tertentu atas tujuan memberi ‘ganjaran’ berlebihan.

Beliau sebaliknya mahu anggota Kabinet yang dilantik menyokongnya atas dasar polisi dan komitmen terhadap tadbir urus baik, memerangi isu rasuah dan pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, perbincangan masih sedang dilakukan bersama pemimpin tertinggi parti gabungan Pakatan Harapan (PH) dan dijangka mengambil masa beberapa hari lagi.

"Ia masih dalam perbincangan, dalam beberapa hari lagi, insya-ALLAH kita akan kemukakan cadangan tersebut.

"Saya tetap akan mengecilkan anggota Kabinet, saya tidak mahu terus melantik lebih 70 menteri dengan tujuan untuk memberi 'ganjaran' secara berlebihan kerana menyokong saya.

"Saya mahu mereka menyokong saya atas dasar polisi dan komitmen terhadap tadbir urus baik, memerangi isu rasuah dan pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 di Pejabat Perdana Menteri, di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Pengerusi PH mengakui perbincangan untuk memuktamadkan barisan anggota Kabinet kerajaan perpaduan pastinya akan mengambil masa.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ini kerana keputusan itu perlu melibatkan persetujuan kepimpinan parti-parti di bawah kerajaan yang diterajuinya.

"Sudah tentu ia ambil masa. Saya perlu berbincang dengan parti gabungan lain termasuk tiga parti utama dalam PH.

"Mesyuarat antara Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjalan dengan baik semalam (Sabtu) di rumah saya.

"Mereka juga ada jawatankuasa kerja yang boleh beri cadangan tentang (anggota Kabinet).

"Petang ini (Ahad), saya akan berbincang dengan GRS yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan saya juga perlu berbincang dengan Parti Warisan (Warisan)," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!