Bu, berjaya sentuh hati penonton

A
A
A

Kekuatan sesebuah filem bukan hanya bergantung kepada jalan cerita tetapi juga penglibatan para pelakon.

Tidak hanya berlandaskan faktor populariti dan rupa semata-mata, pelakon yang hadir dengan pakej berbakat besar juga menjadi antara pilihan penerbit dan pengarah untuk membintangi sesebuah drama ataupun filem. Faktor itu jugalah yang telah menarik penulis untuk menonton filem terbaharu di pasaran, Bu.

Filem arahan pengarah baharu, Jeany Amir itu dijayakan oleh barisan pelakon hebat seperti Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Dian P Ramlee, Iedil Putra, Rashidi Ishak, Wan Hanafi Su, Nadia Brian dan turut dibantu pelakon baharu yang tidak kurang hebatnya iaitu Mawar Rashid, Tia Sara dan ramai lagi. Perjalanan filem itu tentang tiga wanita berlainan latar belakang namun tanpa sengaja mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Ia mengisahkan mengenai Diana yang mengambil keputusan untuk menangguhkan niat untuk hamil supaya dia dapat fokus pada kerjaya biarpun keputusan itu melukakan hati ibu mertuanya yang mendambakan cucu. Suaminya, Zack bersetuju tetapi Diana tidak menyedari yang Zack menyembunyikan rahsia mengenai syarikat arkiteknya yang sudah ditutup. Sementara itu, Aishah seorang suri rumah yang tertindas berasa asing daripada suaminya yang merupakan seorang doktor dan anak perempuan mereka, Julie berikutan kedua-dua mereka jarang berada di rumah.

Norimah, seorang wanita berusia 40 tahun, akhirnya hamil selepas bertahun mencuba. Dia juga seorang yang menyokong impian suaminya untuk menjadi penulis novel selepas diberhentikan kerja sebagai cef. Suatu hari, kehidupan ketiga-tiga wanita ini bertembung ketika Zack mengejar Diana dan secara tidak sengaja melanggar Aishah dengan keretanya. Bayi dalam kandungan Norimah juga berdepan risiko apabila kereta tersebut hampir melanggarnya.

Perkembangan perjalanan plot filem ini mengingatkan penulis kepada filem Sepi iaitu apabila kesemua pelakon bertembung di satu persimpangan jalan. Namun, latar dan jalan cerita mereka jauh sekali berbeza dan bagi penulis plot filem Bu agak unik dan menarik. Transisi dari satu plot ke satu plot dibuat cantik oleh Jeany. Ia membuatkan kita sentiasa mahu mengetahui siapa mereka dan apa kaitan mereka antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:


Lakonan mantap para pelakon terlibat juga secara tidak langsung mencantikkan lagi filem ini. Setiap keserasian yang dirasai, rasa cinta yang diluahkan dapat dirasai dan diserap dengan baik oleh penonton. Tidak lupa juga mesej penting mengenai pengorbanan seorang wanita tidak kira meliputi kerjaya, keluarga dan diri sendiri.

Bagi penulis, Bu ialah sebuah filem yang menyentuh perasaan dan mesej yang disampaikan juga dapat difahami. Bagi anda yang belum menonton, saksikan Bu, di pawagam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!