Min Jae belum pasti diturunkan menentang Ghana
PERTAHANAN Korea Selatan, Kim Min Jae masih belum pasti dapat diturunkan pada aksi kedua kumpulan H Piala Dunia Qatar 2022 menentang Ghana pada Isnin.
Pengendali Korea Selatan, Paulo Bento berkata, ketika ini beliau belum mendapat apa-apa berita berkenaan kecederaan dialami pemain Napoli itu.
Beliau berkata, sekiranya pemain tidak dapat beraksi pada perlawanan seterusnya, sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada benteng pertahanan Korea Selatan.
“Saya tidak ada banyak informasi berkenaan kecederaan yang dialami pemain tersebut. Kita akan lihat situasi kecederaan pemain itu dari masa ke masa.
“Bagaimanapun, sekiranya pemain itu tidak cergas, ia akan memberi kesan kepada barisan pertahanan kami. Anda boleh lihat kami tidak boleh bermain dengan cara yang kami mahukan.
“Malah barisan pertahanan kami juga turut terkesan. Kami bertahan dengan lebih bawah berbanding seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Min Jae mengalami kecederaan pada babak kedua ketika pasukannya seri tanpa jaringan ketika menentang Uruguay pada aksi pertama kumpulan H.
Bagaimanapun, pemain itu berjaya menghabiskan permainan tersebut tanpa dibawa keluar sebelum mengadu mengalami kekejangan otot selepas perlawanan itu.
Untuk rekod, Korea Selatan kini berada di kedudukan kedua kumpulan H selepas mengutip satu mata di belakang pendahulu, Portugal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!