Remaja maut, rakan cedera motosikal berlanggar dengan lori
SIK - Seorang remaja maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori di persimpangan jalan Kampung Gajah Puteh di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Irsyadiah Pondok Ampang Jeneri, Muhammad Naufal Muhammad Lutfi, 15, maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, pelajar lelaki terbabit disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sik.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori dari arah jalan Sungai Tiang tidak sempat mengelak motosikal yang ditunggangi dua sahabat itu yang ingin membelok masuk dari arah Kota Bukit.
“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa melambung dan jatuh ke bahu jalan,” katanya kepada pemberita pada Ahad.
Abdull Razak berkata, rakan mangsa bagaimanapun mengalami kecederaan tidak serius dan menerima rawatan di Hospital Sik.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!