PRU15: PH bersaing cara berhemah elak serangan peribadi
PADANG SERAI - Pendekatan kempen secara berhemah tetap diteruskan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai biarpun terpaksa berdepan serangan peribadi parti lawan.
Calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak berkata, ia sebagai langkah dan contoh terbaik kepada pihak lain yang mana gabungan pakatan itu kini telah membentuk sebuah kerajaan.
PH sebagai sebuah kerajaan, kami tidak menghentam tetapi saya lihat pihak sana masih lagi memainkan isu perkauman dan agama. Mereka juga masih hentam Perdana Menteri, pada saya ia tidak sepatutnya berlaku.
"Kami akan berkempen secara berhemah, tidak akan sesekali menyerang secara peribadi dan tunjuk contoh yang baik sebagai sebuah kerajaan," katanya ditemui media ketika menemui pengundi di Taman Ria di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan tetap meneruskan pertandingan dengan calon BN, Datuk C Sivaraj sekalipun Jawatankuasa Kerja Pusat MIC itu enggan memberi laluan mudah kepadanya memenangi kerusi berkenaan.
"Kita hormat itu pendapat Datuk Sivaraj namun tetap mengharapkan agar BN kompromi kerana kerusi yang disandang PH sejak tiga penggal berturut-turut itu diharap kekal milik kita.
"Sebab kalau ikutkan sekarang ini, kita dah satu kerajaan, saya yang diamanahkan kepada kemenangan tersebut, sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru juga, kita akan bersaing secara sihat kerana manfaatnya kepada rakyat dan negara," katanya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pengundian bagi Parlimen Padang Serai kepada 7 Disember depan berikutan kematian calon M Karupaiya (PKR) yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 16 November iaitu tiga hari sebelum PRU15.
Selain Mohamad Sofee dan Sivaraj, kerusi itu ditandingi empat lagi calon termasuk Datuk Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!